Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) --  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkenaan untuk melaksanakan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun, perkembangan itu menunjukkan kematangan politik Malaysia.

“Ia menjadi satu mercu tanda politik negara dan harap berterusan pada masa hadapan. SPR selepas ini perlu mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan," katanya di lobi Parlimen.

Beliau berkata SPR juga akan berjumpa dengan agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Pendaftaran Negara.

“Satu kempen kesedaran juga perlu diadakan agar rakyat Malaysia tampil mengemas kini alamat terbaru mereka," katanya.

Azizan turut berkata kos pilihan raya juga akan meningkat berikutan jumlah pengundi yang dijangka menjangkau lebih 22 juta orang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU14 tahun lepas.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahlinya. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika mengumumkan perkara itu berkata tiada ahli Parlimen yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel