Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

IPD Seremban diharap jadi contoh IPD lain di Negeri Sembilan


Tarikh kemaskini: 17/07/2019





SEREMBAN, 17 Julai (Bernama) -- Penganugerahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebagai daerah terbaik dalam Op Selamat 15 Hari Raya Aidilfitri 2019 bagi seluruh Malaysia diharap dapat menjadi contoh kepada IPD lain di negeri ini dalam memantapkan lagi perkhidmatan. 

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata beliau optimis semua IPD di negeri ini mampu mempamerkan prestasi yang baik ketika mengendalikan Op Selamat pada masa akan datang. 

"Prestasi IPD Seremban yang diumumkan sebagai daerah terbaik di seluruh Malaysia pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15/2019 telah memberi harapan kepada kita untuk memastikan daerah-daerah lain juga mampu menjadi yang terbaik dalam mengendalikan Op Selamat pada masa akan datang," katanya.  

Beliau berkata demikian pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Seremban di sini, semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berusaha mendapatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kepolisan.

"Sebenarnya banyak kejayaan yang dibuat oleh pihak polis tetapi persepsi diberikan masyarakat masih kurang dan tidak berapa baik,” katanya.

Mohd Said berkata pihaknya akan cuba mempertingkatkan serta memantapkan kualiti perkhidmatan dalam usaha merealisasikan tanggungjawab menjaga keselamatan orang awam.

"Dengan ini, kita cuba mendapatkan keyakinan itu semula dengan memperbaiki mutu perkhidmatan dan memberikan komitmen sebaik mungkin selain mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah itu," katanya.

Mohd Said berkata beliau akan memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan daerah Seremban menjadi lebih selamat dan sejahtera.

Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seremban yang baharu menggantikan ACP Thiew Hock Poh. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel