Pakej umrah: Bekas pengarah YBNT hadapi 50 pertuduhan menipu pakej umrah
Tarikh kemaskini: 17/07/2019

KUALA TERENGGANU, 17 Julai (Bernama) -- Bekas pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 50 pertuduhan menipu menyebabkan kerugian lebih RM130,000 tiga tahun lepas.
Mohd Adam Mohd Ghazali, 31, yang didakwa di dua mahkamah berasingan, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan melibatkan lebih 30 mangsa dengan memperdaya mereka untuk menaja mengerjakan umrah di bawah syarikatnya bagi sesi November hingga Disember 2016.
Penipuan itu didakwa dilakukan melalui Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu hingga kesemua mangsa memasukkan wang antara RM3,000 hingga RM15,000 ke akaun syarikat terbabit pada tarikh tertentu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa premis termasuk di pejabat YBNT di Jertih, Besut; pusat beli-belah dan beberapa bank di Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, dari Jun hingga November 2016.
Mohd Adam dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mohd Adam yang didakwa sebanyak 26 pertuduhan di hadapan Hakim Azman Mustafa dibenarkan ikat jamin sebanyak RM209,000 dengan seorang penjamin manakala bagi 24 pertuduhan di makamah satu lagi di hadapan Hakim Jamaludin Mat dibenarkan ikat jamin sebanyak RM240,000.
Selain itu tertuduh turut diperintah melapor diri di Mahkamah Sesyen dua kali sebulan.
Azman menetapkan 7 Ogos untuk sebutan dan kes selebihnya di hadapan Jamaludin ditetapkan sebutan pada 28 Ogos.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad dan M. Lishantini manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Mohamad dan Che Amir Che Musa.
Semalam, Mohd Adam mengaku tidak bersalah terhadap 26 pertuduhan lagi dan Mahkamah Sesyen membenarkan dia diikat jamin RM40,000 dengan tiga penjamin serta menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
|