Kerja penambahbaikan di LRA SSP1 elak kerosakan lebih teruk
Tarikh kemaskini: 17/07/2019

KLANG, 17 Julai (Bernama) -- Kerja-kerja penambahbaikan ke atas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang dijadualkan pada 23 Julai ini oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) penting bagi mengelakkan berlaku kerosakan yang akan membawa kesan yang lebih teruk kepada pengguna.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata loji tersebut telah lama tidak diselenggara oleh pihak yang mengendalikannya sebelum ini.
"Sebelum pengambilalihan konsesi air dilakukan oleh kerajaan negeri, aset-aset air ini dimiliki oleh badan lain dan kebanyakkan daripadanya tidak diselenggara dengan baik.
"Kami faham kebimbangan dan kesusahan yang akan dialami oleh pengguna akibat gangguan bekalan air berjadual ini, tetapi ia perlu dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai gesaan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago yang mendesak kerajaan negeri melakukan rombakan terhadap pengurusan tertinggi Air Selangor jika bekalan air tidak dapat dipulihkan dalam masa 84 jam seperti dijanjikan.
Bagaimanapun, katanya jika bekalan air gagal dipulihkan seperti yang dijanjikan, pihaknya akan mengambil tindakan yang sepatutnya.
Amirudin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Wacana Perbandaran Rendah Karbon Ke Arah Bandar Pintar peringkat Selangor dan Pelancaran Green Earth Smart System di sini.
Charles hari ini dilaporkan berkata walaupun SPAN memahami gangguan itu tidak dapat dielakkan demi kepentingan pengguna, namun beliau mahu Air Selangor bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.
Beliau juga dilaporkan menuntut Amirudin supaya merombak pengurusan tertinggi Air Selangor dengan serta-merta jika bekalan air gagal dipulihkan dalam tempoh yang dijanjikan.
Air Selangor dalam kenyataannya semalam berkata sebanyak 758 kawasan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat akan terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual antara 36 hingga 84 jam, bermula 23 Julai ini berikutan kerja penambahbaikan di LRA SSP1.
-- BERNAMA
|