Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keselamatan perkara serius di Sabah, tidak boleh dipandang ringan - Mohd Shafie


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





KOTA KINABALU, 18 Julai (Bernama) -- Keselamatan adalah perkara serius di Sabah dan tidak boleh dipandang ringan kerana isu-isu keselamatan memberi ancaman sebenar bukan sahaja kepada rakyat Sabah bahkan negara.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata isu-isu keselamatan boleh menghalang pembangunan ekonomi dan pelaburan terutama di pantai timur Sabah. 

Beliau berkata kerajaan negeri berminat untuk memastikan tahap kegiapsiagaan yang tinggi dalam kalangan pasukan keselamatan dalam menjaga keselamatan perairan negeri ini daripada pencerobohan dan ancaman.

"Langkah-langkah ini adalah penting bai memastikan keselamatan awam dan negeri ini bebas daripada sebarang ancaman seperti jenayah rentas sempadan, terutama penculikan. Adalah penting untuk meningkatkan keupayaan kita untuk menangani jenayah rentas sempadan pada masa depan.

"Kita juga perlu melihat kepada pelbagai pilihan yang ada dalam era teknologi digital ini seperti teknologi pengawasan untuk mengganti atau mempertingkatkan aset strategik dan persenjataan semasa kita yang sudah lapuk," kata beliau pada Seminar mengenai Isu-isu Keselamatan Setempat dan Serantau di Sabah, di sini hari ini.

Ucaptama beliau disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hashim Paijan.

Mohd Shafie berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah melakukan banyak usaha bagi memastikan keselamatan Sabah dan kawasan perairannya.

Bagaimanapun, katanya, walaupun pelbagai langkah diambil dan aset-aset diperuntukkan oleh kerajaan, usaha-usaha ini masih tidak mencukupi kerana pantai yang panjang, sumber-sumber terbatas, kawasan yang terlalu luas untuk diawasi, dan pemberontakan yang berterusan di Filipina yang di luar kawasalan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata isu-isu keselamatan di Sabah adalah unik dan rumit.

Beliau berkata disebabkan Sabah dekat dengan sempadan antarabangsa dengan Indonesia di selatan, Brunei di barat daya, Filipina di utara dan timur Sabah, beberapa daripada isu berkenaan adalah berkaitan dengan kedaulatan nasional dan asing.

"Ia memerlukan penglibatan dan campur tangan Kerajaan Persekutuan. Perkara ini dirumitkan lagi oleh pergerakan bebas penduduk antara wilayah yang disebabkan hubungan sejarah, kebudayaan dan kekeluargaan sejak beberapa dekad lepas," kata beliau.

Beliau menambah pergerakan rentas sempadan bagi tujuan aktiviti perdagangan dan ekonomi adalah juga perkara biasa di pantai timur Sabah di mana penduduk yang tinggal di kampung-kampung pedalaman di pulau-pulau dalam wilayah itu mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian mereka dari pekan dan bandar-bandar di pantai timur Sabah. 

Mohd Shafie berkata ramai daripada kalangan mereka juga mendapatkan rawatan perubatan dan mencari pekerjaan di Sabah dan tidak di negara mereka.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel