Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Snek pisang Hafiszuddin semakin berkembang di Sabah


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





TUARAN, 18 Julai (Bernama) -- Snek pisang jenama Hafiszuddin tidak asing  kepada penggemar makanan ringan keluaran tempatan yang sudah sembilan tahun berada di pasaran di negeri ini.

Mula beroperasi secara kecil-kecilan di rumah di Taman Sepanggar, Menggatal hampir enam tahun, kini snek pisang pelbagai perisa itu berpindah lokasi pengeluaran di bangunan kedai, Lot 5, Jalan Mengkabong, di sini sejak tiga tahun lepas.

Syarikat Usaha Maju DH Enterprise milik Haryantto Satuan, 35, dan isterinya Hasrah Malik, 34, berasal dari Tawau itu wujud hasil bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang turut memberikan peralatan pemprosesan makanan ringan itu.

Antara kemudahan lain disediakan FAMA untuk syarikat itu adalah latihan berterusan, bahan mentah, mesin pembungkusan dan papan tanda perniagaan.

Haryantto selaku pengurus jualan dan pemasaran syarikat mengakui perniagaan snek pisang mempunyai cabaran tersendiri, memandangkan ramai usahawan di negeri ini menceburi bidang sama.

"Apa yang menyebabkan snek pisang jenama Hafiszuddin kekal mendapat perhatian di pasaran kerana perisa pelbagai iaitu manis, masin, kari, jagung, ayam, lada hitam, bbq, tomato, bawang putih dan telur masin, memberi pilihan kepada pengguna.

"Setakat ini, snek pisang ini boleh didapati di lebih 10 pasar raya di Sabah serta pusat pelancongan, dengan pendapatan kasar syarikat hasil jualan makanan ringan itu mencapai RM15,000 sebulan," katanya kepada Bernama di sini.

Haryantto berkata syarikatnya menghasilkan lebih 200 kilogram snek pisang sehari, dilakukan lima tenaga kerja dalam kalangan penduduk tempatan.

Sehubungan itu, beliau berhasrat mengembangkan lagi perusahaan itu, memandangkan sambutan serta permintaan terhadap makanan ringan berkenaan meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya walaupun perusahaan itu turut menghadapi masalah putus bekalan pisang untuk dijadikan snek, namun masalah itu dianggap kecil dan masih berupaya ditangani dengan mendapat sokongan FAMA.

Haryantto berkata, snek pisang Hafiszuddin dalam proses mendapatkan pengiktirafan e-halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel