Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Skandal 1MDB: 29 Ogos ditetapkan bagi individu, organisasi tuntut wang RM428,500


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 29 Ogos bagi mana-mana individu atau organisasi untuk menuntut wang berjumlah RM428,500 yang disita daripada Akademi Pemuda yang dikatakan berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman memberitahu bahawa responden atau wakil responden  (Akademi Pemuda) hari ini tidak hadir ke mahkamah semasa sebutan kes itu dan perkara berkenaan dimaklumkan melalui surat kepada mahkamah.  

"Dimaklumkan melalui surat kepada mahkamah yang mereka (Akademi Pemuda) tidak akan hadir ke mahkamah dan tiada peguam yang hadir hari ini," katanya.

Bagi satu lagi responden, Sim Sai Hoon yang diwakili peguam Cheow Wee memberitahu mahkamah bahawa beliau baru sahaja dilantik untuk mewakili pihak responden (Sim Sai) dan memohon satu tarikh untuk memfailkan afidavit balasan daripada pihak pendakwaan.

"Saya baru sahaja dilantik oleh responden dan afidavit telah diserahkan pendakwaan. Jadi saya memohon lebih masa untuk meneliti afidavit," kata Cheow.

Terdahulu, Cheow membantah notis warta itu atas alasan Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 sepatutnya didengar bersama dan bukannya secara berasingan.

"Pihak kami menyatakan bahawa Seksyen 61(2) seharusnya didengar selepas pelucutan hak di bawah Seksyen 56(1) kerana pada peringkat ini kedua-dua isu (Seksyen 56(1) dan Seksyen 61(2) ) ini sepatutnya dibuat serentak bukan secara Seksyen 61 (2) dahulu atau Seksyen 56(1) dahulu.

"Sememangnya permohonan seharusnya dibuat serentak," katanya.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagaimanapun,  pihak pendakwaan membantah kerana Seksyen 56(1) perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membolehkan mahkamah mengeluarkan notis warta kepada pihak ketiga secepat mungkin. 

Oleh itu, mahkamah menetapkan 16 Ogos untuk pihak responden memfailkan afidavit balasan dan pihak pendakwaan perlu menjawab selewat-lewatnya 30 Ogos. 

Mahkamah turut menetapkan 3 Sept untuk mendengar hujahan lanjut pihak terlibat berhubung bantahan terhadap pewartaan notis itu.

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel