Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis cekup 67 GRO warga asing di Kuantan


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





KUANTAN, 18 Julai (Bernama) -- Polis menahan 67 wanita warga asing yang dipercayai menawarkan perkhidmatan wanita pelayan pelanggan (GRO) pada serbuan di dua premis perniagaan di sini, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman ACP Mohd Hedzir Hussin berkata mereka yang ditahan berumur antara 19 hingga 40 tahun, terdiri daripada warga Thailand, China, Vietnam dan Laos. 

Katanya, serbuan yang bermula pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah pusat hiburan dan sebuah pusat karaoke yang difahamkan sudah beroperasi sejak dua tahun lepas, namun lesen perniagaan hiburan premis itu tamat tempoh pada 30 Jun lalu. 

"Suspek yang ditahan di pusat karaoke difahamkan menawarkan perkhidmatan menemani pelanggan pada harga antara RM240 hingga RM640 bagi tempoh empat jam manakala pelanggan di pusat hiburan pula membayar mengikut jumlah minuman keras dan tip," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini. 

Mohd Hedzir berkata pihaknya juga menahan 12 pekerja di kedua-dua pusat hiburan itu, berusia antara 20 hingga 45 tahun, dipercayai penyelia, juruwang dan lapan pelayan termasuk empat warga Bangladesh.

Polis juga merampas pelbagai barangan pada serbuan itu antaranya empat botol minuman keras pelbagai jenama, wang tunai RM8,157, jadual tugas pekerja dan enam walkie talkie bersama pengecasnya. 

Mohd Hedzir berkata operasi melibatkan lapan pegawai kanan dan 26 anggota daripada D7 Bukit Aman dibantu D7 Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. 

Semua yang ditangkap dibawa ke IPD Kuantan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1), Seksyen 15(1)c, Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1963 serta Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)b Enakmen Hiburan Pahang. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel