Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

“Tiada perikemanusiaan jalankan kaji selidik mengenai bila Dr M patu berundur,” kata MTUC


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Sebarang gesaan meminta Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri akan mengganggu usaha-usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan membebaskan negara daripada rasuah dan pelanggaran lain pada masa lepas, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini.

Setiausaha Agungnya J.Solomon juga berkata tidak perlu mana-mana pihak menjalankan kaji selidik mengenai berapa lama Dr Mahathir patut memegang jawatan itu kerana pemimpin berusia 94 tahun itu mesti diberi seberapa banyak “masa dan ruang” yang diperlukannya untuk meletakkan ekonomi negara pada landasannya semula.

 “Walaupun beliau melantik kebanyakan menterinya daripada kalangan mereka yang baru pertama kali memegang jawatan kabinet, tetapi Tun telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang setakat ini, ketika berdepan tekanan hebat dan skandal-skandal yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu,” kata Solomon dalam satu kenyataan di sini.

Kumpulan pemikir kerajaan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) semalam mendakwa bahawa kaji selidik yang dijalankannya mendapati 75 peratus daripada responden merasakan Dr Mahathir tidak patut kekal menjadi perdana menteri melebihi tempoh dua tahun.

Sebanyak 22 peratus lagi berkata pengerusi Pakatan Harapan (PH)  itu tidak perlu meletak jawatan sama sekali. Sebanyak 1,597 orang telah ditemu bual dalam kaji selidik itu.

Dr Mahathir telah berkali-kali memberi jaminan bahawa beliau akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun tiada kerangka waktu ditetapkan, dan kedua-dua pemimpin sering merujuk kepada perkara itu.

Solomon berkata rakyat Malaysia tidak sepatutnya terganggu daripada fokus hendak memulihkan ekonomi negara, “terutama apabila kerajaan di bawah Tun sudah mula menunaikan janji-janjinya.”

“Tun mungkin bukan seorang yang bersahabat baik dengan kesatuan-kesatuan sekerja pada masa lepas tetapi kini kami melihat beliau dan ahli-ahli kabinet meletakkan kepentingan kepada pekerja yang membolehkan kesatuan-kesatuan sekerja pada hari ini memainkan peranan yang lebih penting dalam pembinaan negara,” kata Solomon.

“Apa yang perlu sekarang ialah para majikan di sektor swasta perlu membalas hasrat kerajaan untuk meningkatkan kedudukan para pekerja yang kini amat memprihatinkan dengan menawarkan gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik,” kata beliau.

Sambil menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang negarawan, Solomon berkata adalah “tidak berperikemanusiaan” untuk meminta perdana menteri meletakkan jawatan sebelum beliau berpuas hati bahawa beliau telah melakukan segala yang beliau terdaya untuk negara dan telah bersedia untuk menyerahkan kuasa.

‘Saya juga ingin katakan bahawa adalah tidak berperikemanusiaan untuk mengadakan semua kaji selidik ini dan tidak berhenti-henti bercakap mengenai peralihan kuasa apabila Tun sedang melakukan yang terbaik manakala masalah-masalah yang dihadapinya bukan berpunca daripada beliau sendiri, tetapi lebih disebabkan oleh salah guna kuasa oleh kerajaan terdahulu,” kata Solomon.

Solomon berkata adalah tidak masuk akal untuk memikirkan mengenai pertukaran perdana menteri kerana kerajaan PH belum pun menghabiskan separuh daripada mandat lima tahunnya, yang dimenanginya pada Mei tahun lepas.

“MTUC berharap semua ahli politik, sama ada daripada kerajaan yang memerintah atau pembangkang,  berhentilah daripada terlibat secara meluas dalam politik tidak sihat yang hanya akan merencatkan pembangunan negara.

“Para pekerja di negara ini menggesa semua pihak supaya berhenti mempolitikkan kehidupan rakyat Malaysia dan memastikan segala usaha difokuskan kepada membaik pulih negara dan tidak membazirkannya kepada perkara remeh-temeh atau kaji selidik yang tidak penting yang mana akhirnya golongan pekerja yang akan menjadi mangsa,” kata beliau. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel