Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Belum tentu belia 18 tahun boleh mengundi semasa PRN sarawak


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Belia 18 hingga 20 tahun mungkin masih tidak berpeluang untuk mengundi dan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang perlu diadakan sebelum 6 Jun 2021.

Ini pandangan peribadi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun ketika ditanya sama ada PRN Sarawak akan menjadi pilihan raya pertama melibatkan mereka yang berusia 18 tahun.

“Dari pemikiran saya seorang saja, saya fikir it is a little bit tough. I doubt so (ia sedikit sukar. Saya ragu),” katanya pada sidang media selepas forum 'Make A Change Let’s Do It Together' anjuran SPR di sini, hari ini.

Dewan Rakyat pada Selasa lepas (16 Julai) meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Azhar berkata, pewartaan pindaan bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun memerlukan masa yang agak lama sebelum boleh dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Electoral role (Peranan mengundi) pun bukan senang. Kalau kita prepare (sedia) hari ini, kita kena pamer dulu, lepas itu ada tempoh bantahan kemudian kita kena dengar bantahan lagi. Warta pula. So its not (Jadi ia bukan) kita buat electoral hari ini, boleh pakai electoral itu. Sebab itu tiap-tiap pilihan raya kita bukan pakai electoral bulan Mac, tetapi pakai electoral Disember,” katanya.

Kepada soalan adakah Pilihan Raya Umum ke-15 melibatkan kos yang tinggi, beliau berkata, “Yang pasti kosnya tinggi”

Beliau berkata, kos PRU15 akan turut mengambil kira penambahbaikan SPR dan penambahan pengundi baharu. 

Menurut Azhar, PRU14, yang melibatkan 14.9 juta pengundi dan 240,000 petugas, menelan belanja kira-kira RM500 juta. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel