Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Semak realiti semasa sebelum terlibat dengan BRI -- Rafidah


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Negara-negara yang mempunyai kepentingan dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China perlu membuat ujian tekanan kewangan dan ekonomi sebelum melaksanakannya. 

Saranan itu datang daripada Pengerusi AirAsia X Bhd Tan Sri Rafidah Aziz, sambil menambah ujian itu dapat membantu sesebuah negara untuk mempunyai penilaian yang lebih baik ke atas daya maju projek serta mengelak masalah seperti lonjakan kos, khususnya jika projek tersebut disertakan dengan pakej pembiayaan.

“Ujian ini bagi menilai kemampanan hutang jangka panjang, yang melibatkan beratus-ratus juta dan kepada sesetengah negara, ia memberi kesan ke atas angka keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Kerajaan yang terlibat perlu melihat projek-projek ini bukan sahaja daripada perspektif sosio-ekonomi tetapi ia juga wajar berbuat demikian tanpa wujud kepentingan politik... unsur yang salah untuk melaksanakan sebarang projek,” kata beliau semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Awam Jalur dan Laluan ke-3 di sini hari ini.

Rafidah, yang merupakan bekas Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa berkata seharusnya, kesemua projek-projek BRI yang dipertimbangkan bagi pelaksanaan perlu ditambat pada keperluan domestik, manfaat ekonomi yang optimum serta peluang pekerjaan kerana ini akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara pada jangka panjang.

Negara-negara ini tidak seharusnya terus melompat ke dalam landasan BRI tanpa mengambil kira keadaan setempat bagi mengelakkan sebarang kesan buruk di pasaran tempatan. 

“Kita mahu sebuah projek yang mempunyai legasi kesan positif dan hanya boleh dilakukan jika ada keterbukaan serta ketelusan, keyakinan seperti ini perlu ditonjolkan.

“Ini bukan soal keuntungan semata-mata tetapi ia mengambil kira pertimbangan sosio-ekonomi,” katanya lagi.

Beliau yang popular dengan gelaran "Iron Lady" Malaysia, menegaskan bahawa projek BRI mungkin mempunyai hasil jangka pendek tetapi liabiliti jangka panjangnya harus diambil kira juga, kerana tidak ada jaminan bahawa kerajaan yang sama akan kekal memandangkan mereka boleh diubah melalui pilihan raya.

Pelaksanaan projek-projek BRI mesti telus dengan kepatuhan sepenuhnya terhadap tadbir urus, etika perniagaan, terma dan syarat yang boleh diterima secara universal.

Projek terbabit seharusnya bukan bersifat satu inisiatif bersendirian, sebaliknya, perlu disepadukan ke dalam pelan induk ekonomi secara menyeluruh di sesebuah negara untuk menjadikannya relevan dan diterima oleh rakyat dengan hasil yang seiring dengan manfaat golongan awal yang disasarkan. 

Rafidah juga mempersoalkan mengapa pengangkutan udara tidak dimasukkan dalam inisiatif infrastruktur yang besar itu kerana percaya pengangkutan maritim dan darat masih tidak mencukupi untuk meningkatkan kesalinghubungan yang lebih besar. 

Beliau percaya ketiga-tiga mod pengangkutan mesti saling memberikan sokongan kerana ini akan melengkapkan sambungan fizikal dunia dan usaha-usaha untuk mengurangkan masa perjalanan.

“Paling cepat adalah melalui udara. Berapa pantas kapal dan keretapi boleh pergi? Tetapi berapa cepat kapal terbang bergerak? 

“Bagaimana anda boleh terlepas pandang mengenai kenderaan yang paling utama dalam kesalinghubungan dan (pada masa yang sama) anda bercakap mengenai rangsangan perdagangan? 

“Belum ada sesiapa pun yang menyentuh mengenai perhubungan udara, malah 20 tahun akan datang, anda dapat merasakan bahawa itulah sambungan yang paling penting khususnya dengan pertambahan lebih banyak penerbangan tambang rendah,” katanya.

Kumpulan Bank Dunia menganggarkan projek pengangkutan BRI selepas siap nanti, dapat mengurangkan masa perjalanan di sepanjang koridor ekonomi tersebut sebanyak 12 peratus, meningkatkan perdagangan antara 2.7 peratus dan 9.7 peratus, menambah pendapatan sehingga 3.4 peratus dan membawa keluar 7.6 juta individu daripada gejala kemiskinan. 

“Jika kita boleh melibatkan sambungan udara, saya yakin angka-angka sebelum ini akan berubah,” tambah Rafidah. 

Forum sehari itu telah dianjurkan oleh Institut Confucius di Universiti SEGi. Turut hadir ialah Yu Jun, kaunselor hal ehwal politik China di Malaysia.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel