570 usahawan LPP dibantu pertingkat kualiti produk
Tarikh kemaskini: 18/07/2019

PASIR PUTEH, 18 Julai (Bernama) -- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan berusaha untuk meningkatkan pelbagai produk hiliran yang dihasilkan 570 usahawan wanitanya di seluruh negara bagi membolehkan mereka memasarkan hasil di dalam dan luar negara.
Ketua Pengarahnya Azulita Salim berkata langkah awal yang akan diambil LPP termasuk menghimpunkan mereka dalam satu simposium yang akan dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub di Menara LPP di ibu negara pada 23 Julai ini.
“Pada simposium itu mereka akan didedahkan dengan pelbagai aspek termasuk pinjaman, pakej pembungkusan, khidmat nasihat dan pasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (LPPK) di sini, hari ini.
Beliau berkata antara produk yang dihasilkan oleh usahawan tersebut ialah kerepek ubi kayu dan pisang, kuih-muih dan makanan sampingan lain dan hanya mampu menembusi pasaran domestik sekaligus menyebabkan berlakunya lambakan.
“Kita mahu produk mereka bukan sahaja dapat dipasarkan di pasaraya di dalam negara sahaja malah ke peringkat antarabangsa menggunakan lambang pengeluaran LPP,” katanya.
Dalam pada itu, Azulita berharap setiap 294 LPPK di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya satu produk khusus yang boleh menambah pendapatan kepada ahli-ahlinya.
Beliau berjata ini termasuklah melaksanakan projek-projek fertigasi dan estet padi sebagaimana yang dilaksanakan oleh LPPK Tiga Daerah di Pasir Puteh ini yang menceburkan diri dalam pengurusan estet padi seluas 2,115 hektar.
Katanya rancangan itu selaras dengan penyusunan semula LPP dan arahan kerajaan yang mahukan agensi-agensi kerajaan mencebur diri dengan projek-projek yang berskala besar bagi menjana pendapatan kepada dan LPPK.
-- BERNAMA
|