Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama)  -- Perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhadapan dengan 25 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang melibatkan RM2.28 bilion milik dana 1Malaysia Development Berhad’s (1MDB) akan diteruskan pada 19 Ogos,  sebagaimana yang ditetapkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mengenepikan notis usul yang difailkan oleh Pendakwa Raya sebgai pemohon, agar perbicaraan 1MDB ditangguhkan buat kali keempat untuk memberi laluan kepada perbicaraan Najib dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd, supaya diselesaikan terlebih dahulu.

Hakim Sequerah sebelum ini menetapkan 19 sehingga 29 Ogos; seluruh bulan September dan Oktober, kecuali hari Jumaat; dam dua minggu pertama pada November, untuk perbicaraan 1MDB Najib.

Dalam penghakiman ringkas, hakim itu berkata mahkamah mendapati tidak ada sebab yang munasabah untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB kerana perkara itu melibatkan kes yang mempunyai kepentingan awam.

"Kes ini perlu diteruskan tanpa sebarang penangguhan lagi, dan oleh itu ia tidak mencetuskan sebab yang munasabah untuk membolehkan perbicaraan 1MDB ditangguhkan lagi.

"Saya tidak nampak sebarang sebab untuk penangguhan. Tarikh perbicaraan sebagaimana yang ditetapkan sebelum ini, kekal. Jadi saya menolak usul yang dibawa oleh pihak pendakwaan,” katanya dan menambah kes ini telah berlarutan selama hampir setahun sejak Najib didakwa pada bulan September 2018.

Bagaimanapun dengan mengambil kira keperluan kepada pihak-piahk tertentu untuk hadir di kedu-dua perbicaraan, hakim berkata beliau akan lebih fleksible dan menimbangkan permohonan yang diutarakan bagi mengenepikan beberapa tarikh tertentu dalam perbicaraan 1MDB untuk memberi laluan kepada perbicaraan SRC.

Ini merupakan kali keempat pihak pendakwaan membuat percubaan untuk menangguhkan perbicaraan kes itu atas alasan mereka perlu menyelesaikan perbicaraan SRC terlebih dahulu sebelum memulakan kes 1MDB.

Hakim Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah oleh Peguam Negara (AG) Tommy Thomas dan peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding pagi.

Terdahulu Thomas, yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan SRC Najib memberitahu mahkamah bahawa mereka telah menfail usul bagi menangguhkan perbicaraan 1MDB yang ditetapkan pada bulan Ogos dan September ini untuk memberi laluan kepada perbicaraan SRC, untuk diselesaikan terlebih dahulu.

"Tertuduh (Najib) turut mengesahkan afidavit itu dan mereka (Najib serta pasukan pembelaan) tidak membantah penangguhan perbicaraan kes 1MDB,” katanya.

Thomas turut berhujah bahawa jika diteruskan, ia akan memberi tekanan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar kes perbicaraan SRC kerana 16 Ogos adalah tarikah perbicaraan yang terakhir yang akan didengarnya.

"Kita tidak boleh mengenakan sebarang tekanan terhadap sesiapa, dan kita mulakan sahaja perbicaraan nombor dua (merujuk kepasa kes 1MDB) selepas tamat perbicaraan pertama (kes SRC),” kata Thomas.

Muhammad Shafee berkata perbicaraan SRC dan 1MDB akan membangkitkan persoalan prejudis sekiranya perbicaraan berlangsung serentak.

"Sekiranya kedua-dua perbicaraan berjalan serentak, ia akan menimbulkan soal prejudis buat persediaan untuk pembelaan dan peguam, apabila perlu penyediakan dua perbicaraan berasingan secara serentak,” katanya.

Notis usul itu difailkan oleh Pendakwa Raya sebagai pemohon pada 10 Julai lepas, yang menamakan Najib sebagai responden.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed dalam afidavitnya berkata kes SRC yang bermula pada 3 April lepas dijadualkan berlangsung sehingga 16 Ogos di hadapan Hakim Mohd Nazlan, dan sehingga kini pihak pendakwaan telah memanggil 51 orang saksi untuk memberi keterangan, dan ia berhasrat memanggil 20 lagi saksi, bergantung kepada perubahan dinamik dalam keadaannya.

Budiman berkata dalam perbicaraan SRC pada 3 Julai, pasukan pendakwaan telah memaklumkan hasrat mereka untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB, dan tiada sebarang bantahan di pihak pembelaan.

Beliau berkata demi kepentingan semua pihak termasuk saksi yang disepina untuk menghadiri perbicaraan, kes itu perlu diteruskan tanpa sebarang penangguhan sehingga penyelesaiannya seberapa mungkin, dan menurutnya permohonan itu juga tidak akan memprejudiskan tertuduh dalam kes ini kerana tertuduh masih dan terus berada dalam jaminan.

Pada 8 Julai Hakim Sequerah menolak permohonan lisan Thomas bagi menangguhkan perbicaraan kes 1MDB sehingga kes SRC selesai dan pada 10 Julai pihak pendakwaan menfail notis usul bagi menangguhkan perbicaraan.

Pada 30 April pihak pendakwaan menfailkan usul pertama bagi menangguhkan perbicaraan 1MDB yang ditetapkan selama 14 hari dari 5 April sehingga 3 Mei, sementara menunggu keputusan kes SRC, dan ia dipersetujui oleh Hakim Sequerah, yang menetapkan tarikh 14 Mei sehingga 21 Jun.

Pihak pendakwaan pada 2 Mei memohon satu lagi penangguhan menerusi permohonan lisan, dan mahkamah menetapkan tarikh 19 Ogos sebagai tarikh perbicaraan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel