Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hanya ingat mati ketika bahu dijilat harimau


Tarikh kemaskini: 19/07/2019





DUNGUN, 19 Julai (Bernama) -- "Saya hanya ingat mati ketika harimau itu menjilat bahu saya.”

Demikian luahan seorang pesara kerajaan, Abdul Fatah Wan A.Rahman, 68, dari Kampung Seren, Bukit Besi di sini yang video memaparkan dia terjatuh berdekatan harimau tular di media sosial.

Mengimbas kembali kejadian tersebut, Abdul Fatah berkata kira-kira 2 petang semalam, beliau mengajak isterinya Zarina Ahmad Khan, 59, serta anak mereka berkunjung ke Kampung Besul, Bukit Besi selepas berita mengenai kehadiran harimau 'jinak' di kampung tersebut heboh.

Tertarik dengan berita tersebut, beliau tidak mahu melepaskan peluang melihat 'raja rimba' itu dalam jarak dekat, namun ketika sedang asyik memerhatikannya bersama penduduk kampung, harimau tersebut tiba-tiba melompat naik daripada bawah tebing dan orang ramai lari lintang-pukang. 

"Kejadian itu berlaku sekelip mata. Saya sendiri terjatuh ketika cuba melarikan diri. Bila cuba bangun, harimau itu sedang menjilat bahu saya dan saya lantas menepis mukanya sebesar dulang itu dengan tangan saya.

“Harimau tersebut kemudian hilang dari pandangan saya. Perasaan masa itu tidak dapat digambarkan dan masa itu saya hanya ingat mati," katanya ketika ditemui media di rumahnya hari ini. 

Ekoran kejadian tersebut, Abdul Fatah mengalami cedera ringan di siku kanan dan kaki kiri serta demam kerana terkejut.

Menurutnya, peristiwa itu akan dikenang seumur hidup dan akan diceritakan kepada anak cucu pada masa akan datang sebagai teladan dan pengajaran bersama.

Sehingga berita ini ditulis, difahamkan harimau tersebut telah lari ke dalam kawasan hutan berdekatan dan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya berwaspada jika terserempak dengan kelibat sang belang tersebut.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel