Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka boleh jadi negeri contoh pelaksanaan konsep Rahmah - Adly


Tarikh kemaskini: 19/07/2019





Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

MELAKA, 19 Julai (Bernama) -- Keunikan sejarah Melaka yang panjang, yang pernah menjadi pusat perkembangan awal agama Islam di rantau ini, boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain bagi memulakan konsep "Rahmatan lil ‘Alamin"  (Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam) dalam tadbir urus negeri masing-masing.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata dalam konteks agama, tunjang kepada kemajuan sesebuah negara adalah keamanan dan perpaduan yang dibina daripada akidah dan syariat yang datang secara bersama dan ia tidak boleh dipisahkan.

 “Jika dilihat dari  sejarah, walaupun Melaka pernah menjadi pusat penyebaran agama Islam ianya tidak pernah mengekang masyarakat majmuk ketika itu mengamalkan budaya dan adat resam masing-masing dan mereka hidup dalam suasana aman damai.

“Nilai baik ini diharapkan akan dibincangkan untuk dikongsi oleh semua kerana kita tahu bahawa perpaduan dan keamanan adalah tunjang kepada kemajuan sesebuah negara,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama hari ini.

Adly yang juga Pengerusi parti Amanah Melaka berkata sebagai contohnya negeri Melaka amat  menitik beratkan soal kebersihan kerana ia adalah perkara asas pertama yang dianjurkan oleh agama Islam.

Beliau berkata jika dilihat kitab-kitab lama yang dikenali sebagai ‘Kitab Kuning’ (Kitab kuning diguna sebagai rujukan utama di pondok satu ketika dahulu) memberi penekanan serius terhadap  ‘Taharah’ (istilah agama yang bermaksub bersuci lahiriah dan batiniah) yang merupakan perkara utama yang ditekankan sebelum ibadat solat dan puasa.

“Di Melaka kerajaan negeri menitikberatkan aspek ini kerana kebersihan kepada negeri itu sebenarnya akan memberi kesan yang cukup baik kepada rakyat seperti jauh daripada penyakit, bebas dari pencemaran dan banyak lagi,” katanya.

Mengulas mengenai Konvensyen Nunji 2019 (Nadwah Ulama Nahdhan Jadidan)  atau Himpunan Ilmuwan (Ulama) Kebangkitan Baharu yang akan berlangsung esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Adly berkata konvensyen itu adalah medan mengembangkan perbincangan tentang konsep Rahmatan lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah.

Beliau berkata konsep tersebut menjelaskan bagaimana Islam dilihat memberi rahmat kepada keseluruhan institusi, masyarakat dan termasuk kepada alam ini.

Beliau berkata banyak perkara yang akan dibincangkan pada Nunji 2019 berkisar kepada isu perpaduan dan kesatuan sama ada dalam masyarakat Islam itu sendiri atau dalam masyarakat Malaysia secara umumnya.

“Dalam konteks rakyat majmuk di negara ini, konsep Rahmatan lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah merupakan satu keperluan kepada kita untuk memahami, menghormati di samping membina kesatuan masyarakat kerana dari sudut agama ianya akan memberi keamanan kepada masyarakat,” katanya.

Katanya Islam bukan hanya datang dengan akidah sahaja sebaliknya ia datang dengan syariat juga, bila peraturan ini disusun sudah pasti ia ada tujuan serta matlamatnya dan masyarakat harus diterangkan bagaimana matlamat agama itu diberikan fokus.

Dengan memberi fokus kepada tujuan dari segi syariat dan pelaksanaan itu maka konsep keadilan dan kesamaan akan diperluaskan lagi dan begitu juga dengan politik negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi dalam usaha mencapai keamanan dan perpaduan

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel