Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki lari atas bumbung rumah elak ditahan AADK


Tarikh kemaskini: 19/07/2019





KEPALA BATAS, 19 Julai (Bernama) -- Seorang penagih dadah sanggup menggadai nyawa dengan memanjat bumbung rumahnya bagi mengelak ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang yang menjalankan Ops Perdana di Kepala Batas, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, penguat kuasa AADK terpaksa mengambil masa lebih satu jam memujuk lelaki berusia 20-an itu untuk turun namun dia masih enggan turun  sehingga pihaknya memanggil pihak bomba untuk membantu.

Penolong Pengarah (Kanan) Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Pulau Pinang, Ibrahim Muhamad Said berkata kejadian itu berlaku apabila pihaknya menjalankan pemeriksaan di rumah lelaki itu sebelum dia yang hanya berseluar jeans bergegas melarikan diri sebaik menyedari rumahnya diserbu AADK.

“Anggota AADK kemudian mengejar lelaki itu sebelum dia bertindak memanjat bumbung rumah bagi mengelak ditahan. Kami cuba memujuknya turun namun tidak diendahkan sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membantu menurunkan lelaki tersebut," katanya di sini hari ini.

Katanya lelaki itu berjaya dibawa turun dengan selamat kira-kira pukul 4 pagi dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

Ibrahim berkata dalam operasi yang sama di sekitar Kepala Batas bermula pukul 8 malam semalam hingga 8 pagi ini, pihaknya turut menahan 14 penagih dadah lelaki berusia 17 hingga 40 tahun.

"Ujian air kencing semua 14 lelaki itu positif dadah dan mereka direman untuk siasatan lanjut AADK," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut  menahan seorang ibu beranak lima berusia 30 tahun dan dua lelaki berumur 19 serta 21 tahun dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam serbuan pukul 10 malam Isnin lepas di Kampung Sungai Kechil Hilir, Nibong Tebal dekat sini.

Beliau berkata wanita itu menjalankan kegiatan tersebut di sebuah rumah yang disewanya sejak beberapa bulan lepas dan menjual dadah kepada penagih di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk di Parit Buntar, Perak dan Bandar Bahru, Kedah.

"Dua lelaki itu pada mulanya cuba menyembunyikan dadah dalam anak patung beruang bagi mengelak di kesan namun tidak berhasil selepas pemeriksaan kami menemui dadah serta pelbagai  peralatan untuk memproses dan menghasilkan dadah dalam rumah tersebut," katanya.

Katanya pihaknya merampas satu paket mengandungi 400gram (g) ketamin, dua paket syabu masing-masing seberat 10 dan 12.3g serta 300 mililiter cecair kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah yang kesemuanya bernilai RM10,000.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel