Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JDT, Terengganu FC hanya seri 3-3


Tarikh kemaskini: 20/07/2019





JOHOR BAHRU, 19 Julai (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa melupakan hasrat meraikan kemenangan kejuaraan mereka dalam Liga Super malam ini dengan penuh bergaya, apabila sekadar seri 3-3 ketika bertemu Terengganu FC dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam ini.

Dalam perlawanan disaksikan hampir 14,000 peminat itu, Terengganu terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-23, hasil rembatan Sanjar Shaakhmedov yang tepat menuju gawang Harimau Selatan.

Tersentak dengan gol itu, JDT mula menyusun rentak permainannya dan berjaya merembat masuk gol penyamaan pada minit ke-30, menerusi  jaringan pemain importnya, Leandro Sebastian Velazquez.

Pada minit ke-35, Safawi Rasid menambahkan jaringan JDT, menerusi sepakannya ke kanan gawang pelawat.

Berbaki hanya seminit sebelum tamat separuh masa pertama, Gonzalo Gabriel Cabrera Giordano memberi satu lagi gol sekali gus menjadikan kedudukan 3-1.

Bagaimanapun, sebaik separuh masa kedua bermula, Terengganu tidak menunggu lama untuk melakukan serangan dan berjaya menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-64, melalui tandukan Serhii Andrieiev yang tepat memasuki gawang tuan rumah.

Pada minit ke-79, Lee Andrew Tuck, menggagalkan kemenangan tiga mata buat JDT dengan menjaringkan gol ketiga buat pasukannya. Beliau kemudiannya dilayangkan kad merah seminit kemudian, kerana mengasari pemain lawan.

Kedudukan 3-3 itu kekal sehingga wisel penamat dan sekali gus menafikan JDT untuk meraikan kemenangan kejuaraan Liga Super mereka malam ini dengan penuh bergaya.

Namun begitu, sesi penyampaian trofi dan medal kepada pemain yang diadakan selepas perlawanan berkenaan, tetap berlangsung dengan meriah dengan disulami sorakan peminat.

Penyampaian trofi dan medal itu disempurnakan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan disaksikan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Datuk Yusof Mahadi.

Trofi kemudian akan dibawa ke Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini, untuk diraikan bersama ribuan penyokong JDT, dalam satu majlis sambutan kemenangan kejuaraan malam ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel