Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis ambil keterangan tiga Orang Asli halang aktiviti pembalakan


Tarikh kemaskini: 20/07/2019





IPOH, 20 Julai (Bernama) -- Polis mengambil keterangan daripada tiga Orang Asli berhubung insiden kekecohan di kawasan pembalakan seluas 42 hektar di Kampung Papan, Gerik pada Khamis lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke Balai Polis Gerik pada 10 pagi tadi.

"Polis menerima laporan daripada pihak pembalakan yang mendakwa terdapat beberapa sekatan menggunakan kayu yang diletakkan di kawasan pembalakan dipercayai bagi menghalang aktiviti pembalakan dan laluan di kawasan itu pada Khamis lepas.

"Susulan itu, polis membawa ketiga-tiga Orang Asli berkenaan yang dipercayai menghasut orang lain supaya turut membuat sekatan, untuk diambil keterangan dan meredakan keadaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata difahamkan aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan itu mempunyai kelulusan daripada kerajaan negeri dan telah bermula sejak tahun lalu.

"Isu ini sudah lama berbangkit dalam kalangan Orang Asli berhampiran sejak aktiviti itu dimulakan," katanya.

Katanya ketiga-tiga Orang Asli berkenaan tidak ditahan tetapi dibenarkan pulang setelah keterangan diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin keruh dan masalah berhubung isu berkenaan akan dibincangkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bersama kumpulan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata tiga lelaki masing-masing berumur 22, 36 dan 38 tahun itu dibebaskan sebaik selesai proses dokumentasi.

Beliau berkata pihak syarikat pembalakan terbabit, Sedia Visijaya Sdn Bhd bersama lima orang pekerjanya telah merobohkan halangan manusia membabitkan 25 Orang Asli pagi tadi.

Ismail berkata syarikat itu membuat tiga laporan polis sejak Rabu lepas kerana tidak berpuas hati dengan tindakan penduduk Orang Asli dari Kampung Sungai Papan yang membuat halangan di laluan masuk kawasan berkenaan.

Katanya seramai 45 Orang Asli diketuai Anjang bin Aluej turut membuat halangan manusia untuk menghalang kerja-kerja meroboh halangan oleh syarikat pembalakan terbabit pada Khamis lepas.

Ismail berkata Jakoa Perak/Kedah telah meminta pihak syarikat pembalakan itu supaya menangguhkan terlebih dahulu tindakan untuk merobohkan halangan dan memberi peluang untuk mengadakan rundingan.

"Pihak Jakoa telah mengadakan rundingan dengan mereka yang terlibat di Pejabat Jakoa Perak di Ipoh semalam namun pihak Orang Asli tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan halangan tersebut bagi menghalang kerja-kerja pembalakan dengan alasan itu adalah wilayah adat dan tanah rayau mereka,” katanya.

Katanya pihak syarikat berkenaan telah membuat satu lagi polis semalam kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Orang Asli yang membuat sekatan bagi menghalang kerja-kerja pembalakan di kawasan Hutan Simpan Air Chepam

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel