Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dari kucing terbiar ke pertandingan antarabangsa


Tarikh kemaskini: 20/07/2019





KUALA NERUS, 20 Julai (Bernama) -- Lapan tahun lepas kucing jalanan ini bukan sahaja disepak-sepak oleh orang sekeliling malah lebih menyedihkan, biji mata kanannya hampir terkeluar dan berdarah.

Keadaan kucing kampung yang menyayat hati itu langsung tidak diendahkan sehinggalah sepasang suami isteri yang berhati mulia terlihat kucing malang itu dan sanggup menyelamatkannya.

Rozita Haron, 48, berkata pada hujung tahun 2011 beliau dan suami Mohd Fizi Abdullah, 43, ternampak kucing jantan yang dinamakan ‘Ungkalicious’ itu di Pasar Alor Gajah, Melaka dan segera membawanya ke klinik haiwan.

“Apabila sampai di klinik, doktor beritahu peluang ia untuk selamat hanya 50-50 sebab ia masih bayi yang berumur tiga bulan. Untuk dibius sangat bahaya. Tetapi jika tidak dibedah jangkitan matanya boleh merebak ke otak. Oleh itu, saya dan suami nekad ingin Ungkalicious dibedah,” katanya sambil menahan sebak mengenangkan keadaan Ungkalicious ketika itu.

Rozita dan suami ditemui pemberita pada Pertunjukan Kucing Antarabangsa Cat Fanciers’ Association (CFA) Terengganu 2019 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Meskipun peluang untuk Ungkalicious selamat masih samar, namun Rozita sanggup mengambil risiko dan membayar RM600 untuk kos pembedahan mengeluarkan mata kucing itu.

Mohd Fizi pula berkata selepas dibedah, Ungkalicious kembali sihat dan lincah seperti kucing biasa walaupun buta sebelah mata.

“Bayangkan hanya selepas dua jam pembedahan ia boleh berlari dan melompat seperti biasa serta sihat sehingga kini. Kalau di rumah memang ia tidak boleh duduk diam.

“Sebab itulah kami namakan Ungkalicious sebab Ungkal merupakan perkataan Jawa yang bermaksud keras kepala. Memang kucing ini keras kepala dan nakal,” katanya yang tersenyum sambil membelai Ungkalicious.

Kini Ungkalicious yang berusia 7 tahun dan seberat 5.8 kilogram sering memasuki pertandingan kucing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 hari ini, Ungkalicious memenangi tempat ke enam bagi kategori ‘Household Pet’.

Selain Ungkalicious, pasangan pemilik kedai haiwan tersebut mempunyai 13 ekor kucing di rumah termasuk enam ekor kucing kampung yang cacat seperti buta dan lumpuh.

Sementara itu, beberapa ekor kucing baka Sphynx turut menjadi perhatian para pengunjung  pertunjukan tersebut kerana bentuk fizikalnya yang kurus, tidak berbulu dan bertelinga panjang.

Pemilik kucing-kucing tersebut Norizan Mahmud, 38, berkata walaupun kucing jenis itu kurang mendapat tempat di hati pemilik kucing kerana dikatakan ‘hodoh’ tetapi ia lebih manja berbanding kucing biasa.

“Kalau kebanyakan kucing baka lain mereka tidak suka dipeluk tetapi kucing baka Sphynx kalau kita peluk ia suka malah akan mencium kita. Suhu badan mereka juga lebih panas berbanding kucing biasa membuat kita sangat selesa memeluknya,” katanya yang memiliki 10 ekor kucing baka unik itu.

Namun katanya kucing baka Sphynx lebih rumit untuk dijaga berbanding kucing biasa kerana kerap berpeluh dan mudah berdaki yang membuatkan haiwan tersebut perlu selalu dimandikan dan sentiasa berada di tempat berhawa dingin.

Selain kucing baka Sphynx penjawat awam itu mempunyai 20 ekor kucing lagi yang terdiri dari pelbagai baka termasuk British Shorthair.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel