Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bahan berasaskan minyak disyaki punca pencemaran bau di LRA


Tarikh kemaskini: 20/07/2019





SHAH ALAM, 20 Julai (Bernama) - - Pembuangan bahan berasaskan minyak disyaki punca pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian berkata siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati, bahan buangan berasaskan minyak itu ditemui di kebuk masuk loji rawatan kumbahan serantau Indah Water Konsortium (IWK) di Batang Kali, Hulu Selangor.

"Perkara itu disedari pada kira-kira 7 pagi tadi apabila siasatan mendapati terdapat lapisan minyak di kebuk masuk loji berkenaan.

"Pihak IWK terpaksa menutup kebuk masuk berkenaan sekitar jam 9 pagi bagi kerja-kerja pembersihan yang selesai petang ini, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bahan berasaskan minyak itu dipercayai dibuang tanpa kebenaran dari kawasan perindustrian berdekatan loji terbabit.

Beliau berkata, Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggunakan enam tan karbon aktif (AC) bagi mengawal pencemaran tersebut.

"Sehingga kini, LUAS bersama pihak yang terlibat bekerjasama bagi menangani isu ini dengan kadar segera,” kata Hee.

Terdahulu, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang yang dihentikan operasinya petang semalam akibat pencemaran bau tersebut, telah kembali beroperasi sepenuhnya pagi ini.

Semalam, 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran berkenaan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel