Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program Empower ECER tarik minat pelajar dalami STEM


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





KUALA NERUS, 21 Julai (Bernama) -- Konsep pembelajaran interaktif yang diterapkan dalam Program Latihan Akademik Empower ECER mampu menarik minat pelajar mendalami bidang pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) pada masa akan datang.

Timbalan Pengarah Empower ECER Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Saiful Izwaan Saadon berkata pengisian program yang melibatkan 250 anak-anak nelayan sekitar Kuala Nerus itu juga berjaya membuka minda mereka bahawa matapelajaran tersebut adalah menyeronokkan hasil kerjasama Pusat Asasi STEM UMT yang bertindak sebagai mentor.

"Program ini menggalakkan pelajar supaya berfikir dengan lebih kreatif terutama ketika membuat eksperimen Sains.

"Ini membuatkan mereka berasa seronok untuk mempelajari subjek STEM dengan pendekatan yang mudah dan tidak lagi menganggapnya sebagai subjek yang sukar dipelajari sekaligus membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi," katanya. 

Beliau ditemui Bernama selepas majlis perasmian STEM Empower ECER Latihan Akademik Akuapolitan Kuala Nerus 2019 yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah Teknik & Vokasional Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Md Adam Ismail di UMT.

Program Latihan Akademik empower ECER adalah salah satu inisiatif di bawah Program Pembangunan Modal Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang menyasarkan peningkatan pencapaian akademik terutamanya subjek STEM peserta dari daerah Akuapolitan Kuala Nerus.

Beliau berkata selain program bersama Pusat Asasi STEM UMT, kesemua 250 murid dan pelajar dari 14 sekolah itu turut menerima kemudahan tuisyen percuma dan program motivasi khas untuk meningkatkan jati diri mereka agar lebih bersemangat mengubah nasib keluarga dengan pendidikan yang cemerlang.

"Antara 14 sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir, SK Kompleks Seberang Takir, SK Teluk Ketapang dan SK Tok Jembal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Program Asasi STEM UMT, Profesor Madya Dr Laili Che Ros berkata program tersebut secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan elemen 4C iaitu 'Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity' pelajar Pusat Asasi STEM UMT seperti yang disaran Kementerian Pendidikan Tinggi.

"UMT adalah universiti pertama yang menubuhkan Pusat Asasi STEM di Malaysia. Ini adalah sebahagian usaha kita dalam menarik minat pelajar terutama di kawasan sekitar untuk mengenali apa itu STEM.

"Kita juga ada program khas Pusat Asasi STEM UMT bersama beberapa sekolah berdekatan dan hasilnya sangat positif setakat ini di mana lebih ramai pelajar yakin memilih jurusan STEM untuk pengajian di peringkat lebih tinggi," katanya. 

Bagi Muhammad Aiman Hakim Yusof, beliau cukup teruja ketika melangkah masuk ke UMT buat pertama kali hari ini, apatah lagi berpeluang mengikuti 'Jelajah Sains' dengan bimbingan pelajar Pusat Asasi STEM di universiti tersebut.

Murid Tahun Enam SK Seberang Takir itu berkata Sains adalah antara subjek yang agak sukar baginya namun program tersebut berjaya mengubah pemikirannya terhadap Sains.

"Sebelum ni, setiap kali peperiksaan, markah Sains saya hanya lingkungan 20 ke 30 sahaja. Bila sampai sini, kakak dan abang banyak tunjuk konsep Sains. Rasa seronok pula bila dah faham," katanya yang mahu memperolehi markah lebih 50 pada peperiksaan akan datang.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel