Polis kesan lelaki terlibat cubaan samun di Taman Bukit Indah
Tarikh kemaskini: 21/07/2019
JOHOR BAHRU, 21 Julai (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terlibat kejadian cubaan samun, sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita di Taman Bukit Indah, di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, suspek yang berfizikal kurus itu dipercayai lelaki tempatan, dan menaiki motosikal Honda Wave berwarna merah tanpa nombor pendaftaran, ketika melakukan jenayah itu.
Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 7.30 pagi ketika wanita berumur 48 tahun itu, berada di hadapan rumahnya sebelum didatangi lelaki berkenaan.
"Ketika suspek bertanyakan sesuatu, mangsa (wanita) bertindak menegur suspek kerana berada terlalu rapat dengan mangsa.
"Suspek kemudian cuba merampas beg sandang yang dibawa mangsa dan berlaku pergelutan hingga menyebabkan mangsa terjatuh," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata jiran mangsa yang melihat kejadian berkenaan terus menjerit terhadap suspek, menyebabkan suspek terkejut lalu melarikan diri.
Beliau berkata ekoran terjatuh, wanita tersebut mengalami luka di bahagian kiri kepala dan kemudian melaporkan kejadian kepada polis.
Menurutnya, wanita itu, bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kerugian.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun, katanya.
-- BERNAMA
|