Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Agong zahir takziah kepada keluarga kebakaran


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





KUANTAN, 21 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang maut dalam kebakaran di Kampung Sungai Isap 2 di sini, pagi tadi. 

"Takziah buat keluarga mangsa. Al-Fatihah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang solihin dan muttaqin," titah baginda menerusi pesanan WhatsApp menerusi pegawai baginda.

Sultan Abdullah juga menitahkan supaya pihak berkuasa yang terlibat, untuk segera memberi bantuan termasuk membina semula tiga buah rumah yang musnah dalam kebakaran itu.

Pada kejadian 7.45 pagi tadi, mereka yang maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran itu ialah Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anaknya iaitu Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, serta Muhammad Adam Daniel, 7. 

Mayat Sharifah Azlina dijumpai rentung dalam bilik belakang rumah itu manakala Muhamad Haikal dan Muhamad Adam Daniel ditemukan di sebuah lagi bilik belakang rumah yang dihuni lapan individu itu.

Kejadian juga menyebabkan suami Sharifah Azlina, Hairol Khalid, 38, adik Sharifah Azlina, Syed Azman, 25, dan isterinya Norazilah Abdullah, 23, parah. 

Adik Norazilah, Nor Syawalina Abdullah, 19, pula cedera ringan, manakala anak Syed Azman, Muhammad Alif Asyraf, 6, tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata siasatan awal mempercayai kebakaran bermula di bahagian tengah rumah itu, sebelum merebak ke rumah berhampiran.

Katanya, bomba dengan kekuatan dua jentera bersama 17 pegawai dan anggota mengambil masa hampir 20 minit untuk mengawal kebakaran dan semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Selain rumah mangsa, sebuah rumah yang terlibat difahamkan adalah rumah ayah bekas pemain bola sepak Pahang, Zulhamuzan Zakaria, yang pernah membantu Pahang menjulang beberapa kemenangan sekitar awal 1990-an. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel