Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Awang Besul' mungkin diserang penyakit 'Canine distemper' - KP Perhilitan


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





KUALA NERUS, 21 Julai (Bernama) -- Harimau jantan yang ditangkap Jumaat lepas oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu selepas berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi di Dungun, mungkin diserang penyakit 'Canine distemper'.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata ia berdasarkan pemerhatian awal oleh pakar haiwan liar Perhilitan dan Jabatan Veterinar Terengganu yang turut sama dalam operasi menangkap haiwan itu.

Beliau berkata 'Canine distemper' iaitu sejenis penyakit yang berpunca daripada virus lazimnya menyerang kucing dan anjing domestik, tetapi terdapat banyak kes yang turut melibatkan haiwan liar seperti harimau, serigala dan musang.

"Serangan ini akan menyebabkan haiwan itu menjadi seperti 'bingung' dan tidak dapat membezakan sifat pemangsanya. Ini mungkin sebab kenapa ia tidak mencederakan manusia dan ternakan yang ditemuinya. 

"Harimau yang normal ia tidak akan tolak (makan) orang atau ternakan. Jika tidak makan pun ia akan serang kerana itu naluri atau tabiat semulajadinya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan di Universiti Malaysia Terengganu, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya perkara itu hanya dapat disahkan selepas keputusan ujian darah terhadap harimau jantan yang mendapat nama jolokan ‘Awang Besul’ itu diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.

"Menurut maklumat daripada petugas di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NRWC) di Sungkai, Perak di mana harimau itu ditempatkan, ‘Awang Besul’ sudah beransur sihat dan dapat makan serta minum dengan baik.

Sementara itu, Abdul Kadir menolak kemungkinan yang harimau itu adalah haiwan peliharaan seperti yang dilaporkan sebelum ini memandangkan Perhilitan tidak pernah mengeluarkan lesen atau permit khas kepada mana-mana pihak untuk memelihara haiwan liar seperti harimau dan ular tedung.

"Harimau Malaya adalah spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang dan hanya menteri sahaja yang boleh meluluskan permit khas untuk mana-mana pihak memeliharanya,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata berdasarkan saiz tapak yang lebih kurang sama ditemui di beberapa lokasi seperti kawasan kampung dan tepi sungai ketika operasi mengesan harimau dijalankan, pihaknya percaya hanya terdapat hanya seekor harimau yang berkeliaran di Kampung Besul Lama dan bukan dua seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, Perhilitan akan terus menjalankan operasi mengesan dan memasang perangkap bagi tempoh satu atau dua minggu ini untuk melihat sama ada terdapat seekor lagi.

"Tabiat semulajadi harimau jantan ini lazimnya dia bergerak seekor, tidak seperti harimau betina yang keluar bersama anak atau singa yang memburu secara berkumpulan.

"Jadi kita pantau dahulu untuk sementara waktu ini dan tengok sama ada yang seekor lagi yang didakwa oleh penduduk kampung itu adalah harimau kumbang memandangkan kawasan itu adalah habitatnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata video memaparkan seorang lelaki memandikan seekor harimau yang tular semalam adalah video yang dirakam pada 2010 di Johor dan tindakan sudah diambil terhadap pemilik harimau itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel