Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PPD Kuantan bantu urus insurans dua beranak maut kebakaran


Tarikh kemaskini: 21/07/2019




KUANTAN, 21 Julai (Bernama) -- Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan akan membantu menguruskan tuntutan insurans dua beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Sungai Isap 2 di sini, hari ini. 

Pegawai PPD Kuantan Mohd Razali Mustafa berkata mangsa Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan adiknya Muhammad Adam Daniel Hairol, 7, merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah di sini. 

"Kementerian Pendidikan ada menyediakan perlindungan insurans kepada setiap pelajar sekolah bagi membantu urusan yang berkaitan dengan kemalangan.

"Jadi, kami akan menguruskan tuntutan insurans mangsa selain berhubung dengan waris bagi membantu keperluan yang boleh diberikan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Razali berkata mereka juga akan berjumpa dengan kakak sulung mangsa yang berusia 15 tahun, jika dia berminat untuk ke sekolah memandangkan dia berhenti sekolah tahun lalu akibat kemiskinan. 

"Kakak mangsa memberitahu dia berkemungkinan akan ke Perak untuk tinggal bersama neneknya di sana, jadi kami akan cuba mendapatkan penempatan sekolah di sana," katanya. 

Pada kejadian 7.45 pagi tadi, Muhammad Haikal Hakimi dan Muhammad Adam Daniel maut bersama ibu mereka Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dalam kebakaran yang keseluruhannya memusnahkan empat unit rumah. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Lapan nelayan Indonesia hilang di perairan Tambisan

 
     

Polis siasat pagar rumah wartawan disimbah cat merah

 
     

Sekolah Tamil pupuk perpaduan menerusi sambutan Ponggal

 
     

Kerajaan akan nilai semula pemberianĀ elaunĀ guru KAFA

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel