Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pusat pemuliharaan harimau kebangsaan (NTCC) beroperasi hujung tahun ini


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





KUALA NERUS, 21 Julai (Bernama) -- Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) di kawasan seluas 40 hektar di Lanchang, Pahang, berhampiran Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, dijangka siap dan mula beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata setakat ini kerja-kerja pembangunan yang menelan belanja sebanyak RM15, juta telah pun siap 90 peratus.

"Mengikut perancangan, harimau yang mengalami konflik dengan manusia yang kita tangkap akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar kebangsaan (NWRC) Perhilitan di Sungkai, Perak terlebih dahulu untuk tujuan rawatan.

“Selepas itu barulah kita pindahkan ke NTCC Pahang untuk pemuliharaan serta latihan sebagai persediaan melepaskan mereka kembali ke habitat asal,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan di UMT, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, cara pemuliharan itu hanyalah cadangan dan kajian lanjut akan dijalankan bersama pakar-pakar termasuk dari Institusi Pengajian Tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menilai kesannya.

Turut hadir Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Dalam perkembangan lain, Abdul Kadir berkata pihaknya sentiasa memantau aktiviti penjualan hidupan liar yang dilindungi secara dalam talian di negara ini.

Beliau berkata sejak Ops Taring dilancarkan pada 2013 sehingga kini, seramai 50 individu yang berusia antara belasan tahun sehingga 40-an ditangkap dan dikenakan tindakan, kerana menjalankan aktiviti terbabit.

"Kita sentiasa pantau iklan-iklan di laman sosial seperti Facebook yang menjual hidupan liar seperti tenggiling, burung hantu, kucing hutan dan sebagainya.

"Kebanyakan mereka yang ditangkap adalah warga tempatan dan ada antaranya 'scammer' yang memperdaya orang ramai dengan menawarkan bermacam-macam jenis haiwan liar," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel