Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga beranak 'susul' pemergian suami - ibu


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





KUANTAN, 21 Julai (Bernama) -- Baharu sahaja kehilangan suami, Siti Zaleha Abd Rashid hari ini diuji lagi dengan kehilangan anak dan dua cucu dalam kebakaran di Kampung Sungai Isap 2 di sini. 

Siti Zaleha, 60, berkata suaminya Syed Kassim Syed Alwi, 61, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, lima hari lalu akibat angin ahmar. 

"Tak sangka tak sampai seminggu saya kembali semula ke HTAA... tapi hari ini lebih menyayat hati kerana tiga ahli keluarga pergi serentak manakala menantu pula masih dalam rawatan di sini.   

"Kami juga sempat berkumpul empat hari lalu kerana majlis tahlil arwah suami dan arwah anak gembira berbual kerana 10 adik-beradiknya ada bersama," katanya kepada pemberita di perkarangan Unit Forensik HTAA hari ini. 

Pada kejadian 7.45 pagi tadi, anak Siti Zaleha, Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, maut bersama dua anaknya Muhamad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan Muhamad Adam Daniel, 7, dikatakan akibat terperangkap dalam kebakaran itu. 

Kebakaran yang dipercayai bermula di bahagian tengah rumah sewa mangsa, juga menyebabkan suami Sharifah Azlina, Hairol Khalid, 38, adik Sharifah Azlina, Syed Azman, 25, dan isterinya Norazilah Abdullah, 23, parah. 

Adik Norazilah, Nor Syawalina Abdullah, 19, pula cedera ringan, manakala anak Syed Azman, Muhammad Alif Asyraf, 6, tidak mengalami kecederaan.

Siti Zaleha berkata jenazah tiga beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Chini 4, Pekan dekat sini, berkemungkinan pada malam ini. 

Sementara itu, Nor Syawalina berkata dia hanya menyedari rumah itu terbakar apabila mendengar bunyi bising persekitaran, dan terus keluar melalui pintu belakang. 

"Saya tidak sempat untuk melihat keadaan Haikal dan Adam kerana api sudah marak. Saya rasa mereka masih tidur semasa kejadian kerana jenazah mereka berdua ditemukan di bilik," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel