Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kesungguhan pimpinan, ahli Bersatu harus kekal demi kelangsungan parti - Maszlee


Tarikh kemaskini: 21/07/2019




JOHOR BAHRU, 21 Julai (Bernama) -- Kesungguhan dan komitmen pimpinan serta ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus kekal pada tahap tertinggi demi kelangsungan parti berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik berkata semua pimpinan dan ahli juga perlu menghayati pesanan dan amanat Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Khas parti itu, semalam.

"Tahniah dan terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir dalam Mesyuarat Agung Khas Bersatu semalam.

"Kesungguhan dan komitmen kita semua selaku pimpinan dan ahli Bersatu harus kekal pada tahap tertinggi, sama seperti yang kita tunjukkan semasa memberikan pelbagai pandangan untuk meminda perlembagaan parti demi kelangsungan Bersatu secara menyeluruh," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dalam masa sama turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana memainkan peranan sangat penting dalam menggerakkan pindaan perlembagaan parti tersebut.

"Ia bukan sahaja memerlukan masa tetapi ketokohan untuk mengolah pindaan dan persetujuan semua demi survival Bersatu yang kita cintai ini.

"Parti ini harus sentiasa dipastikan berada di landasan yang betul dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat walau dalam apa jua keadaan. Dengan langkah progresif ini, Bersatu menjadi sebuah parti yang mantap dan kuat untuk terus mendapatkan kepercayaan serta mandat rakyat," katanya.

Semalam, 79 daripada 80 cadangan pindaan perlembagaan Bersatu diluluskan oleh hampir 900 ahli perwakilan pada Perhimpunan Agung Khas parti itu.

Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau percaya dengan kelulusan pindaan itu, parti berkenaan akan menjadi lebih kemas.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel