Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin


Tarikh kemaskini: 22/07/2019





SHAH ALAM, 21 Julai (Bernama) -- Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau tahu individu yang menjadi dalang dalam penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan dirinya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan pihak polis.

"Saya tidak boleh dedahkan kerana ia masih dalam siasatan (polis), biarlah siasatan itu lengkap dahulu.

"Tetapi sejak hari pertama (video itu tersebar) saya sudah menjangkakan bahawa ada unsur-unsur dalaman (parti)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis doa selamat dan kesyukuran menolak politik fitnah terhadap beliau di kediaman Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di sini, malam ini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata beliau juga akan terus bekerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan agenda parti.

Beliau berkata tiada alasan untuknya menidakkan hubungan kerjasama itu walaupun sebelum ini wujud pertelingkahan kenyataan antara beliau dan Anwar berhubung isu video tersebut.

"Saya dan Datuk Seri Anwar akan terus bekerjasama kerana dia adalah presiden dan saya adalah timbalannya, janganlah provok kami berdua kerana kita telah bersama dalam banyak dekad (dalam memperjuangkan parti)," katanya.

Sebelum ini, Mohamed dan Anwar dilihat saling berbalas kenyataan berhubung isu video lucah itu apabila Anwar menyatakan timbalannya perlu bercuti jika terbukti video berkenaan tulen.

Kenyataan Anwar itu diselar Mohamed Azmin yang meminta Ahli Parlimen Port Dickson itu bermuhasabah dan cermin diri.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menyeru barisan kepimpinan parti itu supaya tidak bersengketa dan menolak politik kotor.

"Rakyat bagi mandat kepada Pakatan Harapan bukan untuk bergaduh… kita kena tolak politik kotor kerana rakyat sudah muak dengan perkara seperti ini dan saya gesa media bersama kita untuk sebar maklumat yang benar," katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 orang hadir di majlis doa selamat itu yang diadakan susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada Jumaat lepas, yang mengesahkan Mohamed Azmin tidak dapat dikaitkan sebagai pelaku dalam penyebaran video lucah yang disebarkan baru-baru ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel