Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perhimpunan di Padang Merdeka, raikan Hari Sarawak


Tarikh kemaskini: 22/07/2019





KUCHING, 22 Julai (Bernama) -- Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) dan Sarawak for Sarawakian (S4S) hari ini mengadakan perhimpunan di Padang Merdeka bagi meraikan Hari Sarawak.

Seawal 8 pagi, para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di negeri ini telah berkumpul di Padang Jubli dan Padang Rugbi Song Kheng Hai sebelum berarak menuju ke Padang Merdeka.

Sungguhpun hujan lebat sejak awal pagi tadi, ia tidak mematahkan semangat kira-kira 2,000 peserta untuk berhimpun bagi meraikan Hari Sarawak.

Jurucakap SAPA, Peter John Jaban berkata perhimpunan itu adalah untuk memberikan kesedaran tentang fahaman yang betul mengenai kemerdekaan Sarawak dari penjajahan British serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mengimbau kembali perjuangan kami pada 2013 untuk memperjuangan sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak pada ketika itu, ramai yang menganggap tindakan kami gila.

“Sekarang syukur ternyata usaha itu tidak sia-sia apabila kerajaan negeri sedar tentang kepentingan hari tersebut dan mengisytiharkan 22 Julai sebagai cuti umum,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Peter berkata, beliau berharap sejarah tentang kerajaan negeri Sarawak turut diajar dalam subjek Sejarah di sekolah-sekolah agar generasi muda tahu tentang kebenaran serta sejarah negeri ini.

Pada 2016, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada ketika itu telah mengumumkan 22 Julai sebagai cuti umum di negeri ini.

Hari tersebut dipilih sempena kemerdekaan Sarawak dari jajahan British selain bagi mengingati jasa serta pengorbanan pemimpin perjuangan kemerdekaan Sarawak pada tahun 1963.

Kini, tarikh keramat 22 Julai ini memberikan makna yang cukup besar buat seluruh rakyat Sarawak dan sebagai tanda cinta mereka terhadap bumi Kenyalang ini.

Tahun ini, sambutan Hari Sarawak diadakan di Bintulu dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Jalan Lapangan Terbang Lama awal pagi tadi.

Abang Johari berkata, Bintulu dipilih bagi penganjuran sambutan Hari Sarawak  kerana pada tarikh ini pada tahun1867, Sarawak mulai membangunkan sistem perundangannya secara sendiri lebih teratur dengan Persidangan Council Negeri pertama yang diadakan pada 8 Sept pada ketika itu di bawah pemerintah Brooke.

Ia juga merupakan usaha untuk menyebarkan secara meluas pengertian dan signifikan Hari Sarawak kepada rakyat supaya terus berusaha memperkukuhkan jati diri sebagai Anak Sarawak, menjadikan  Sarawak sebuah entiti politik dan ekonomi yang disegani dan dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel