Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terminal KK Sentral beroperasi secara rasmi, tingkat sistem pengangkutan awam bandar


Tarikh kemaskini: 22/07/2019





KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- Sistem pengangkutan awam lebih strategik dan efisien di Sabah khususnya di bandar raya ini terus diperkasakan lagi menerusi pelancaran rasmi Terminal KK Sentral dengan menempatkan perkhidmatan bas ekspres menuju ke Beaufort, Menumbok, Sipitang, Lawas, Limbang dan Brunei yang sebelum ini beroperasi di terminal sementara Jalan Tugu.

Pembinaan Terminal KK Sentral yang menelan belanja keseluruhan kira-kira RM54 juta itu dimulakan pada 2011 dan siap sepenuhnya pada 2017, namun, berikutan beberapa faktor termasuk perbincangan menentukan entiti seharusnya ditempatkan di bangunan tersebut menyebabkan pengoperasiannya tertangguh sehingga dua tahun.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata, pembinaan Terminal KK Sentral merupakan antara komitmen memperbaiki sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu selain memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan perkhidmatan bas secara efisien di sekitar bandar raya ini.

"Terminal ini turut menyediakan beberapa kemudahan lain untuk keselesaan orang ramai termasuk tempat letak kereta, medan selera, surau, ruang pejabat dan gerai jualan. Sebahagian kemudahan itu sudah boleh digunakan melainkan gerai-gerai jualan dikhususkan kepada penjaja sekitar Kota Kinabalu masih belum dibuka.

"Kami sedang berunding dengan mereka (penjaja) untuk masuk berniaga di sini, namun, ada beberapa syarat masih belum mendapat persetujuan bersama. Bagaimanapun, saya menjangkakan ia akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi Terminal KK Sentral di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Arifin berkata Terminal KK Sentral adalah satu daripada empat terminal dicadangkan dibina di Kota Kinabalu, bagaimanapun, pembinaan tiga lagi terminal bas masing-masing di Putatan, Penampang dan Inanam masih belum dimulakan dan sedang menunggu peruntukan kewangan.

"Tanah bagi membina ketiga-tiga terminal itu sudah ada, dan kami juga telah memaklumkan berhubung pembinaan terminal berkenaan kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) pada bulan lepas dan beliau meminta perunding menyerahkan (pelan dan kos pembinaan) untuk dibincangkan dengan kerajaan Persekutuan bagi tujuan memohon peruntukan," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel