Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Najib tidak pernah tanya mengenai terlebih pengeluaran dalam akaunnya - Saksi


Tarikh kemaskini: 22/07/2019





KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah bertanya mengapa akaun peribadinya di Ambank mencatatkan terlebih pengeluaran.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata pemegang mandat iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, juga tidak pernah bertanya kepadanya mengenai perkara itu.

Saksi ke-54 pendakwaan kitu memberitahu demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram pada perbicaraan Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Perbicaraan memasuki hari ke-41. 

Sithambaran: Pernahkah anda ditanya oleh pemegang akaun atau pemegang mandat kenapa akaun itu merekodkan terlebih pengeluaran?

Yu: Tidak; apabila saya memberitahunya (Nik Faisal Ariff), dia hanya menerimanya.

Sithambaran: Pernahkah anda ditanya oleh pemegang akaun atau pemegang mandat mengapa ada wang yang tidak dibenarkan?

Yu: Saya tidak menghubungi pemegang akaun.

Semasa menjawab soalan Sithambaran tentang sama ada saksi itu tahu bahawa Najib terkejut apabila mengetahui bahawa sejumlah besar wang melibatkan berjuta-juta telah depositkan ke dalam akaun peribadinya, Yu berkata dia tidak menyedarinya. 

Sementara itu, apabila ditanya sama ada penyata akaun itu dihantar kepada Najib dan Nik Faisal Ariff, Yu berkata ya.

Sithambaran : Berdasarkan penyata itu, adalah pemegang akaun mengetahui mengenai dana dalam akaunnya? 

Yu : Ya.

Sithambaran : Selain penyata bank, adakah ada sebab mengapa pemegang akaun perlu tahu (tentang) aliran wang?

Yu : Apabila ada pengeluaran, mereka akan tahu dan penyata bank juga memaklumkan tentang bakinya.

Terdahulu, Sithambaram bertanya kepada Yu tentang perbualan antara beliau dan ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, pada 9 Jun, 2014.

Yu diminta memberi huraian lebih lanjut dan beliau menjelaskan bahawa apabila Nik Faisal Ariff tidak ada di bandar, beliau akan bertemu (Jho Low) untuk mendapatkan dokumen.

Sithambaram juga bertanya mengapa Yu tidak menghubungi Najib secara peribadi apabila Nik Faisal Ariff tidak dapat hadir dan saksi itu menjawab bahawa dia tidak dapat berhubung dengan Najib secara peribadi.

“Kami mendapat arahan kerana perlu berhubung dengan Nik Faisal, pemegang mandat dan kami mengikut surat itu,” katanya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

MBSP meterai perjanjian bersama rakan strategik

 
     

Jerebu: 201 sekolah di Selangor ditutup hari ini

 
     

Bidaan nombor pendaftaran kenderaan siri 'ALL' bermula Khamis ini

 
     

Seri Manjung lokasi baharu catat IPU sangat tidak sihat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel