Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPN Kelantan adakan sesi kaunseling pelajar


Tarikh kemaskini: 22/07/2019





KOTA BHARU, 22 Julai (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan menganjur sesi bimbingan dan kaunseling di semua sekolah di negeri ini dalam usaha membentuk sahsiah pelajar.

Pengarahnya, Abu Hanipah @ Fauzi Zahari berkata sesi bersama kaunselor itu akan digerakkan berikutan beberapa kes yang berlaku di luar jangkaan membabitkan segelintir pelajar sejak akhir-akhir ini sehingga tular di media sosial.

"Sesi bersama kaunselor akan diberikan mengikut aspek yang diperlukan atau isu yang dibangkitkan," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu remaja memijak Al-Quran baru-baru ini dan pihaknya masih menyiasat perkara tersebut termasuk mengumpul maklumat lain daripada pelbagai pihak.

Katanya siasatan awal pihaknya mendapati dakwaan sesetengah pihak yang kejadian tersebut berlaku di Kusial, Tanah Merah adalah tidak benar.

Abu Hanipah berkata pihaknya dimaklumkan remaja itu adalah orang kurang upaya (OKU) lembam namun maklumat lengkap mengenai perkara itu belum diperoleh.

"JPN juga akan menyiasat punca kejadian itu dan dari mana kumpulan remaja terbabit berasal. Selepas mendapat semua informasi yang diperlukan, baharulah JPN Kelantan dapat mengatur tindakan seterusnya," katanya.

Jumaat lalu, Polis Kelantan menahan empat remaja perempuan berumur antara 17 dan 18 tahun di rumah masing-masing antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam berhubung kejadian memijak al-Quran di Kampung Gobek, Gual Ipoh, Tanah Merah.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Mawar-Yadim), Dr Hafidzah Mustakim berpendapat masalah itu perlu ditangani secara berhemah dengan pendekatan mendidik dan bukannya menghukum.

"Mawar-Yadim melihat kejadian ini sebagai satu loceng amaran dan ‘wake up call’ kepada semua pihak terhadap hakikat apa yang berlaku kepada sebahagian anak-anak generasi baharu.

"Kami menyeru supaya masyarakat mengambil iktibar yang mana ibu bapa dan pendidik perlu menekankan pendidikan menyeluruh dengan memberi penekanan bukan sahaja fizikal, mental dan rohani tetapi juga pendidikan reproduktif serta seksualiti," katanya.

-- BERNAMA  

 


 

   

 
 
     
   
 

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel