Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mohon pembelaan selepas diberhenti mengejut


Tarikh kemaskini: 22/07/2019




KUANTAN, 22 Julai (Bernama) -- Seramai 16 pekerja am kontraktor pembersihan sekolah di Pahang merayu diberikan pembelaan sewajarnya selepas mendakwa hilang punca pendapatan kerana diberhentikan secara mengejut. 

Mereka mendakwa hanya mengetahui tentang penamatan kerja mereka menerusi panggilan telefon atas alasan kerajaan melaksanakan format baharu tender bermula tahun ini. 

Bagi Safiah Abdul Rahim, 54, yang telah berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Keratong 4 di Rompin dekat sini, sejak 20 tahun lalu mendakwa terpaksa bergantung sepenuhnya kepada jualan kelapa sawit selepas diberhentikan. 

"Saya dimaklumkan mengenainya oleh pihak sekolah, bukan daripada majikan yang kerja saya tamat pada 31 Mei lalu. Tiada surat hitam putih mengenainya dan saya hilang punca pendapatan tambahan. 

"Harga sawit tidak menentu pada masa sekarang sedangkan saya perlu menanggung kos perubatan suami yang menghidap angin ahmar," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Terdahulu, semua 16 bekas pekerja itu membuat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Pahang, mendakwa diberhentikan tanpa notis dan tidak mendapat bayaran faedah pemberhentian kerja seperti yang diperuntukan dalam Akta Kerja 1955. 

Seorang lagi pekerja Zalilah Salim, 59, pula mendakwa ditamatkan kerja kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu menyebabkan dia kehilangan gaji bulanan RM1,100. 

Dia mendakwa telah berkerja sebagai pencuci di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdullah di Pekan dekat sini, sejak 20 tahun lalu menyebabkan dirinya 'kehilangan punca' dengan penamatan kerja secara mengejut. 

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Perusahaan A. Sivarajan berkata tindakan pemberhentian itu menyukarkan mereka yang terlibat memandangkan kebanyakannya merupakan golongan B40. 

"Kebanyakan mereka hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,100 malah ada yang memperoleh lebih rendah daripada jumlah itu. Wang itu sudah cukup memaksa mereka berjimat cermat, apatah lagi apabila diberhentikan," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel