Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Status tauliah penceramah tertakluk pada jabatan agama negeri - Fuziah


Tarikh kemaskini: 23/07/2019





KUALA KUBU BHARU, 23 Julai (Bernama) -- Status tauliah ceramah bagi penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin adalah tertakluk kepada keputusan jabatan agama Islam negeri terlibat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Fuziah berkata jabatan agama di setiap negeri mempunyai hak untuk memberi atau menarik balik tauliah ceramah terhadap mana-mana penceramah termasuk Wan Ji.

"Semua keputusan sama ada (masih) memberi atau tarik tauliah ceramah terhadap mana-mana penceramah (termasuk Wan Ji) adalah hak jabatan agama negeri masing-masing.

"Kekecohan itu tidak sepatutnya berlaku, sekiranya ada perkara yang tidak dipersetujui… buat aduan rasmi kepada jabatan agama negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ihtifal Huffaz Peringkat Kebangsaan Kali Ketujuh dan Ekspo Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke-28, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden kekecohan yang berlaku dalam kuliah Maghrib yang disampaikan penceramah kontroversi Wan Ji di Masjid Ar Rahman di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Melaka, pada Ahad lepas.

Media melaporkan, kekecohan itu berlaku susulan provokasi sekumpulan individu yang mahu program itu dihentikan selain mendesak tauliah Wan Ji sebagai penceramah ditarik balik.

Pada 9 Julai lepas, Wan Ji menjalani hukuman setahun penjara selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lepas. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap penceramah bebas berusia 37 tahun itu berkuat kuasa 12 Julai sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) masih menjalankan siastan lanjut berhubung tindakan sekumpulan penduduk Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang berzikir sambil berdiri dan menggerakkan anggota tubuh, yang tular baru-baru ini.

"Agar sukar utuk kita kesan individu yang terlibat….sehingga kini, kita belum ada sebarang pertemuan dengan individu yang dipercayai mengetuai 'ritual' itu," katanya.

Sementara itu, Fuziah dalam ucapan perasmiannya menyeru agar amalan mewakafkan harta dan dana dapat diperluaskan termasuk disalurkan bagi tujuan pembangunan institusi maahad tahfiz.

Katanya, amalan itu bukan sahaja menjadi saham akhirat bagi individu malah impak lebih besar dapat membantu melahirkan lebih ramai pelajar tahfiz yang cemerlang.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel