Perhilitan Kelantan pindah gajah liar ke Taman Negara Terengganu.
Tarikh kemaskini: 24/07/2019
KOTA BHARU, 24 Julai (Bernama) -- Seekor gajah jantan seberat dua tan, yang ditangkap di Batu Melintang, Jeli, Ahad lepas, selamat dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ke Taman Negara Terengganu hari ini.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, gajah itu dipindahkan dengan menggunakan dua ekor gajah denak bernama Abot dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) bagi tujuan 'memujuk'.
Beliau berkata operasi pemindahan itu bermula pukul 8.30 pagi dan selesai pukul 1.15 tengah hari ini.
"Gajah berusia antara 25-30 tahun ini dipercayai daripada kumpulan 10 ekor gajah yang mengganggu kawasan pertanian di sekitar Jeli.
"Dianggarkan terdapat 30 ekor gajah dari Hutan Simpan Gunung Basor dan kumpulan 10 ekor yang sering mengganggu kawasan pertanian adalah daripada kumpulan yang sama," katanya kepada Bernama.
Ady Ermanty berkata pada awal Julai lepas, Pejabat Perhilitan Daerah Jeli menerima beberapa aduan daripada penduduk di Batu Melintang dan sekitar mengenai gangguan gajah.
Beliau berkata, bertindak atas aduan sepasukan enam anggota Perhilitan Jeli telah melakukan pemantauan dan pada Ahad lepas operasi dijalankan.
"Gajah jantan ini berjaya ditangkap pada pukul 12.30 tengah hari di Kampung Batu Melintang.
"Untuk operasi pemindahan hari ini ia melibatkan 22 anggota Jabatan Perhilitan Kelantan dan kakitangan PKGK Kuala Gandah, Pahang," katanya.
IOperasi pemindahan hari ini juga mendapat kerjasama daripada Majlis Daerah Jeli dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli bagi mengawal trafik.
"Gajah liar ini akan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu menggunakan treler pengangkut dari PKGK dan keadaan gajah semasa pemindahan adalah baik dan sihat," katanya.
-- BERNAMA
|