Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Maritim tahan dua bot nelayan Vietnam di perairan Kemaman


Tarikh kemaskini: 24/07/2019





KEMAMAN, 24 Julai (Bernama) --  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 21 tekong dan awak-awak yang dipercayai menceroboh dan menangkap ikan dalam kawasan perairan negara tanpa kebenaran, di sekitar perairan Kemaman, semalam.

Pengarah Maritim Zon Kemaman Komander Rashidilhadi Abd Rashid berkata kedua-dua bot itu ditahan antara pukul 3.30 petang dan 4.15 petang di kedudukan sekitar 58 hingga 60 batu nautika di timur laut Kuala Kemaman.

“Hasil siasatan mendapati mereka yang ditahan berumur antara 17 dan 67 tahun, dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. APMM  turut merampas 5,000 kilogram ikan campur, 1,500 kilogram ikan baja, kira-kira 3,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam itu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia.

Selain itu mereka juga disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dan Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurut Rashidilhadi, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam akan dijalankan secara berterusan dengan melaksanakan pelbagai kaedah operasi bagi melindungi hasil laut dan khazanah negara.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel