Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PAFA rakam penghargaan kepada penyokong the Bos Gaurus


Tarikh kemaskini: 24/07/2019





IPOH, 24 Julai (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) merakamkan setinggi penghargaan kepada penyokong skuad 'The Bos Gaurus' kerana memberikan sambutan dan sokongan luar biasa bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA 2019. 

Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar berkata, pihaknya terharu dengan sambutan berkenaan selain tidak menyangka 27,000 tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Perak habis dijual dalam jangka waktu singkat, semalam. 

"Macam kaunter di Stadium Perak, kita buka dari 10.30 pagi hingga 3.30 petang, tetapi pukul 12.30 tengah hari sudah habis (dijual). Selain itu, di daerah-daerah lain ada (kaunter) yang dibuka tidak sampai 15 minit, tiket habis dibeli. 

"Saya ucap terima kasih kepada penyokong dengan sambutan luar dugaan ini kerana ada yang saya dapat tahu sanggup tunggu di hadapan kaunter dari tengah malam sebelum 23 Julai lagi semata-mata untuk mendapatkan tiket," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, malam ini. 

Semalam, PAFA mengesahkan semua 27,000  keping tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 yang dijual melalui kaunter ditetapkan seluruh negeri habis dijual. Baki 3,000 daripada keseluruhan peruntukan 30,000 adalah untuk dijual kepada penaja serta jabatan kerajaan. 

Daripada jumlah berkenaan, 15,000 tiket dijual di Stadium Perak di sini, manakala 12,000 tiket lagi di daerah Gerik, Kuala Kangsar, Parit Buntar, Manjung, Tapah, Bagan Datuk, Kampung Gajah, Tanjung Malim serta Teluk Intan. 

Tajul berkata, proses penjualan tiket di seluruh negeri juga berlangsung lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. 

Selain itu, beliau berkata, para penyokong yang gagal mendapatkan tiket tidak perlu kecewa kerana PAFA dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar akan memasang layar gergasi di 10 lokasi berbeza bagi membolehkan menonton perlawanan akhir itu. 

"Lokasi itu ialah di Dataran Stesen Keretapi Ipoh, Perkarangan Masjid Al-Fateh Meru, Mydin Meru, Lembah Kuala Kangsar, Bukit Baldwind Tapah, Giant Tambun dan Pusat Penjaja Chemor, Padang Majlis Daerah Selama (MDS) , Padang Bunga Raya Lenggong dan Arena Square Pengkalan Baharu," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel