Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penglibatan ahli politik dalam GLC bukan campur tangan politik - Mukhriz


Tarikh kemaskini: 25/07/2019





ALOR SETAR, 25 Julai (Bernama) -- Penglibatan ahli politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bukan satu bentuk campur tangan politik, sebaliknya lebih ke arah membantu meningkatkan sektor pertanian.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata perkara itu tidak sepatutnya dilihat sebagai perkara negatif kerana mungkin ahli politik yang dilantik itu mempunyai kepakaran tertentu dalam bidang pertanian dan boleh menyumbang sesuatu dalam sektor berkenaan.

"Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah nyatakan kita kena tengok semula di mana punca yang menyebabkan sektor pertanian negara tidak berkembang.

“Kalau lihat dari soal politik sahaja itu tidak berapa menyeluruh sebab banyak lagi aspek yang perlu dilihat antaranya macam mana nak besarkan lagi estet padi negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2019 dan Minggu Keusahawanan Peringkat Zon Utara yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam ucapannya, Mukhriz berkata seperti sektor lain, pertanian juga sentiasa mengalami perubahan dan ada dasar  perlu dikaji semula bagi memastikan pendekatan yang digunakan lebih efisien, produktif, berdaya saing dan berkeupayaan dalam mengeluarkan bahan makanan yang selamat.

Dalam perkembangan lain, mengenai tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu melancarkan Tabung Dana UMNO bagi kelangsungan aktiviti politik parti itu dan sebagai persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata ia adalah tidak relevan.

“Sebelum ini tidak pernah timbul isu mahu kutip dana ini kerana kita tahu dana UMNO sebelum ini mencukupi, ia hanya mahu beri gambaran seolah-olah parti itu tiada duit tapi saya rasa banyak lagi baki duit mereka.

“Kalau mereka buat juga (kutip dana), itu maksudnya UMNO masih tidak faham dan anggap dengan duit mereka boleh memenangi hati rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel