Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PGA8 rampas pelbagai barangan seludup bernilai RM1.8 juta


Tarikh kemaskini: 28/07/2019




PASIR MAS, 28 Julai (Bernama) -- Hanya dalam tempoh dua minggu menjalankan operasi di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, Batalion Kelapan Pasukan Gerakan Am (PGA8) mencatatkan kejayaan besar apabila berjaya merampas pelbagai barangan seludup dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA8, DSP Ab Aziz Che Embong berkata pihaknya mencatatkan 22 kes rampasan dan menahan 28 individu sejak mengambilalih tugasan daripada PGA7 bermula 13 Julai lalu.

Beliau berkata kejayaan terbesar yang dicatatkan adalah rampasan sebanyak 45 kilogram (kg) kayu gaharu bernilai RM1.3 juta yang dilakukan hanya selepas dua hari mengambilalih tugasan.

Katanya rampasan itu dilakukan berdekatan pangkalan haram Hasan Merah, Rantau Panjang pada pukul 1.30 tengahari, 15 Julai lalu dan merupakan rampasan pertama dalam tempoh tiga tahun lepas melibatkan gaharu.

"Dalam kejadian itu sepasukan anggota 'Strike Force' yang menjalankan tugas Op Wawasan telah ternampak dua lelaki dan seorang perempuan berusia 40an dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kereta jenis Toyota Camry.

"Sebaik ditahan, pemeriksaan telah dilakukan di dalam kenderaan itu dan menemui sebanyak 13 bungkusan plastik mengandungi kepingan kayu gaharu yang kesemuanya seberat 45 kg," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA Lubuk Stol di sini, hari ini.

Ab Aziz berkata siasatan ke atas suspek mendapati  kayu gaharu itu diperoleh dari Johor dan akan diseludup ke negara jiran kerana permintaan yang tinggi untuk digunakan dalam pembuatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984.

Dalam kes berasingan, Ab Aziz berkata PGA8 berjaya merampas pelbagai jenis rokok tidak sah pada 17 Julai lalu selepas menahan sebuah Toyota Harrier dekat Gual Sitok di sini, selepas kenderaan yang disyaki ketika diekori telah memecut laju dan dijumpai semula di belakang sebuah rumah tidak bernombor.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemui 198,000 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan kira-kira RM88,000 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya rampasan terbaharu dilakukan adalah pada pukul 1.30 pagi tadi melibatkan tiga tan beras Siam bernilai RM9,600 di Jeram Perdah di sini, selepas anggotanya terserempak dengam sebuah van yang dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak untuk menahannya.

"Ketika cuba ditahan pemandu van memecut laju dan telah berhenti di tepi jalan dan melarikan diri dalam semak.

"Pemeriksaan yang dilakukan menemui puluhan guni seberat 50 kg setiap satu di belakang van yang dianggarkan berjumlah 3,000 kg. Kesemua beras akan diserahkan kepada pihak Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara untuk tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel