Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MPKB tempatkan penguatkuasa di tiga lokasi jaga kebersihan, zon bebas merokok


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





KOTA BHARU, 28 Julai (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) akan menempatkan penguatkuasa di tiga lokasi utama di bandar ini bagi memantau tahap kebersihan dan zon bebas merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata tiga lokasi yang dikenalpasti ialah Pasar Besar Siti Khadijah, Medan Ilmu Tok Guru dan Dataran Majlis Perbandaran Kota Bharu.

"Kerajaan Negeri dalam usaha untuk membina imej Kelantan sebagai negeri yang bersih sekaligus dapat menepis persepsi segelintir pihak yang mendakwa negeri ini kotor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin di Ruang Promosi Pasar Besar Siti Khadijah di sini, hari ini.

Izani berkata penugasan penguatkuasa itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan berharap  semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengikuti langkah yang sama dalam usaha untuk menjadikan negeri ini lebih bersih.

Beliau turut meminta kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk bersama-sama menjaga kebersihan terutama di kawasan tumpuan orang ramai.

Sementara itu, Dr Zaini berkata di peringkat Kelantan, tema Hari Keselamatan Makanan Sedunia ditambah nilai dengan kempen Kelantan Gerbang Makanan Sihat 2020: Lazat, Selamat dan Berkat.

"Jabatan Kesihatan Kelantan sentiasa peka dengan isu keselamatan makanan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pengusaha makanan yang didapati menyediakan makanan secara tidak bersih dan selamat," katanya.

Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang berkuatkuasa pada 1 Jan 2013 memperuntukkan keperluan yang merangkumi tiga komponen utama iaitu kawalan premis, kawalan proses dan kebolehkesanan makanan.

"Hingga kini, 824 notis berjumlah RM98,680 telah dikeluarkan kepada pengusaha dan pengendali makanan di negeri ini kerana tidak mematuhi peraturan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel