-nKaZddx4Zo Skuad 'Lang Merah' terima habuan segera
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Skuad 'Lang Merah' terima habuan segera


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





ALOR SETAR, 29 Julai (Bernama) -- Pasukan bola sepak Kedah, yang berjaya merangkul kejuaraan Piala FA Sabtu lepas, dijangka memperoleh ‘habuan’ masing-masing dalam minggu ini, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mukhriz bagaimanapun masih enggan mendedahkan jumlah imbuhan itu kepada umum dan hanya menyerahkannya terus kepada skuad Lang Merah.

“Ia bukan suatu yang (perlu) kita umumkan tapi yakinlah ada imbuhan… imbuhan itu dah sedia, boleh agih dalam minggu ini," katanya kepada pemberita selepas acara sambutan barisan pegawai serta pemain skuad hijau kuning dan Piala FA di dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Ditanya adakah kekurangan dana menyebabkan nilai imbuhan tidak diumumkan, Mukhriz berkata ‘kantung’ KFA sentiasa tidak pernah mencukupi, namun pihaknya bersyukur kerana mendapat sumbangan daripada penaja apatah lagi setelah Kedah berjaya memenangi Piala FA.

"Dia orang (penaja) lagi semangat, kita minta bantuan mereka beri sumbangan kepada kita dan kita agihkan bukan hanya kepada pemain tetapi kepada semua kakitangan dan jurulatih," kata Menteri Besar itu.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata pasukan Kedah kini akan fokus kepada saingan Piala Malaysia, di samping perlu bekerja lebih keras dan meningkatkan prestasi permainan untuk ke saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Di peringkat ini (Asia) terdapat pasukan yang tahapnya sangat tinggi, bertaraf antarabangsa. Jika dulu kita boleh kalahkan pasukan dari Korea tetapi sekarang ini agak sukar dan perlu bekerja lebih keras,” katanya.

Beliau berkata, Kedah mahu memberi saingan di peringkat Asia supaya tidak hanya mahu gah sebagai jaguh kampung selepas menjuarai Piala FA.

Sebelum ini, slot pasukan Kedah ke Asia ditutup meskipun menjuarai Piala FA pada 2017, selepas didapati gagal memenuhi kriteria pelesenan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).          

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel