Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sindiket curi kereta guna teknologi elektronik tumpas di Pulau Pinang


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





GEORGE TOWN, 29 Julai (Bernama) -- Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah yang menggunakan teknologi elektronik dalam kegiatan mereka selepas menangkap enam lelaki termasuk dalang kumpulan itu yang dikenali sebagai Ah Heng dalam beberapa serbuan pada 18 Julai lepas. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah berkata enam kenderaan mewah bernilai kira-kira RM530,000 yang dilaporkan dicuri sebelum ini turut ditemui semula oleh sebuah pasukan khas yang ditubuhkan bagi mengesan sindiket ini yang dipercayai terlibat dalam 18 kes kecurian kenderaan sejak awal tahun ini.

“Suspek-suspek yang berumur antara 20 dan 60 tahun itu diberkas dalam beberapa serbuan di sekitar Alor Setar dan Changloon, Kedah pada 18 Julai lepas,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Menurutnya kumpulan ini mensasarkan kenderaan yang menggunakan kunci “tekan butang” yang diletakkan di kawasan perindustrian di Perai serta Bayan Baru, dan menjalankan kegiatan mereka pada waktu siang ketika pemilik kenderaan sasaran sedang bekerja.

“Dengan menggunakan peralatan elektronik khas seperti ‘penganggu signal’ dan 'kunci pintar’, sindiket ini hanya memerlukan tempoh kurang dari 10 minit untuk masuk ke dalam sesebuah kereta dan mematikan sistem keselamatannya sebelum melarikan kenderaan,” katanya.

Zainol berkata sindiket ini turut memiliki kepakaran mengecat semula kenderaan yang dicuri selain menjadi orang tengah dan penghantar kereta untuk memandu kenderaan masuk ke Danok, selatan Thailand melalui Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Selain dari enam kenderaan yang terdiri dari Toyota Hilux, Honda CRV, Honda City Hybrid, Toyota Estima dan dua unit Honda Civic, pasukan khas ini turut merampas pelbagai nombor plat kenderaan dan cukai jalan palsu, kad Touch & Go, Smart Tag, komputer riba dan telefon bimbit.

“Sindiket ini menggunakan sebuah bengkel berdekatan salah sebuah rumah yang diserbu sebagai lokasi menyimpan kenderaan yang dicuri untuk ditukarkan nombor pendaftaran dan cukai jalannya sebelum diseludup keluar untuk dijual kepada pembeli-pembeli di Danok pada sekitar RM20,000 sebuah,” katanya.

Katanya dua daripada enam lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun selain boleh didenda jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, Zainol menasihatkan majikan dan pekerja di kawasan perindustrian di Pulau Pinang supaya lebih berhati-hati dan meningkatkan sistem keselamatan kenderaan dengan menambah kunci ketika meletakkan kenderaan mereka di tempat parkir luar kilang semasa waktu bekerja bagi mengelak menjadi sasaran pencuri.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel