Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

AKSEM Kedah pastikan anggota sentiasa komited ketika bertugas


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





ALOR SETAR, 29 Julai (Bernama) -- Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah sentiasa memantau dan memastikan komitmen anggotanya berada pada tahap optimum, setiap kali mereka ditugaskan di sempadan negara.

Komandernya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata pihaknya akan segera mengambil tindakan sekiranya mendapati anggota atau pegawainya dilihat seperti tidak dapat menjalankan tugas dengan baik.

Katanya tahap kesiapsiagaan yang tinggi sangat diperlukan bagi setiap anggota keselamatan terutama dalam membanteras aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan, sekali gus menangani masalah kebocoran hasil yang boleh merugikan kerajaan.

Selain itu, pihaknya juga sangat menitikberatkan tahap integriti anggota dan pegawainya supaya sentiasa amanah dalam menjalankan tugas bagi mengelakkan penyeludupan berlaku disebabkan oleh kecuaian penjawat awam itu sendiri.

"Kalau nampak anggota atau pegawai bermasalah, kita akan terus ambil tindakan tarik mereka keluar daripada berada di barisan hadapan menjaga kawasan sempadan ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Latif mengulas laporan media semalam yang melaporkan kerajaan mengalami kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun disebabkan kebocoran hasil yang berlaku di pintu masuk negara.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dilaporkan sebagai berkata kebocoran hasil itu antaranya disebabkan oleh aktiviti penyeludupan yang berlaku sama ada kerana kecuaian ataupun kekurangan peralatan untuk memantau dan mengawal pintu sempadan.

"Dari segi kemudahan peralatan canggih untuk menyekat aktiviti penyeludupan, memang kekurangan… kalau pergi sempadan, boleh tengok sendiri apa yang ada, kami hanya ada senjata untuk mempertahankan diri dan gunakan mata, telinga, hidung dan fikiran yang waras ketika bertugas,” kata Abdul Latif.

Dalam pada itu, beliau juga meminta masyarakat untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dan melaporkan sebarang kejadian mencurigakan bagi menangani kegiatan penyeludupan di sempadan.

Katanya pihak berkuasa memerlukan kerjasama masyarakat kerana ia dapat membantu tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

"Selain itu, sikap masyarakat itu sendiri kena berubah. Jangan membeli barang-barang seludup ini macam mercun sebagainya sebab kalau tiada siapa nak beli, maka tidak adalah orang nak seludup masuk lagi mercun ke negara ini," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel