Dua tahun menanti, pelajar OKU impi bergelar jurutera sambung pengajian di UniMAP
Tarikh kemaskini: 29/07/2019

KANGAR, 29 Julai (Bernama) -- Setelah menanti selama dua tahun, impian Orang Kelainan Upaya (OKU) Noor Fatini Aina Md Noor untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan akhirnya tercapai selepas beliau mendaftar sebagai pelajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.
Pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 itu diterima mengikuti pengajian di peringkat Diploma Kejuruteraan Elektrik, menerusi saluran kemasukan khas.
Anak bongsu daripada dua beradik itu menghadapi masalah peti suara dan tidak dapat bercakap selepas diserang demam panas pada 2013, mengakibatkannya tidak dapat bersekolah untuk tempoh yang agak lama.
Ibunya, Fatimah Khairi, 55, berkata disebabkan semangat dan impian menjadi seorang jurutera, Noor Fatini Aina, 21, meminta izinnya untuk menyambung pengajian ke Tingkatan 4 pada tahun 2015, meskipun tidak menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
“Agak cemas kerana beliau tidak mempunyai kelulusan PT3. Saya dan suami terpaksa naik turun Jabatan Pendidikan Negeri untuk menguruskan hal persekolahannya dan meminta untuk terus mendaftar di Tingkatan 4 serta mengikuti kelas aliran sains tulen.
“Mungkin sudah tertulis rezeki buatnya apabila proses tersebut diluluskan dan dia dapat menyambung pengajian di SMK Gurun yang mana akhirnya Noor Fatini Aina berjaya muncul antara pelajar terbaik SPM di negeri Kedah,” katanya seperti yang dipetik dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UniMAP.
Menurut Fatimah, beliau sekali lagi 'diuji’ apabila anaknya tekad memilih program pengajian kejuruteraan sewaktu mengisi permohonan UPU secara atas talian, namun permohonannya ditolak.
Katanya, beliau dan suami, Md Noor Othman, 55, sekali lagi berusaha bagi memenuhi impian anaknya itu.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP Prof Dr Mohd Foad Sakdan dalam kenyataan sama berkata tawaran pengajian tersebut dibuat atas kelulusan Naib Canselor universiti berkenaan berdasarkan inisiatif Kementerian Pendidikan yang menyediakan laluan khas kemasukan kepada empat golongan ke Universiti Awam iaitu OKU, atlet, Orang Asli dan golongan berpendapatan rendah.
“Sebagaimana hasrat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, laluan khas itu membolehkan pelajar dari empat golongan berkenaan tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana untuk melanjutkan pengajian masing-masing,” katanya.
Katanya, UniMAP berbesar hati menerima permohonan Noor Fatini Aina dan akan menawarkan pelbagai kemudahan yang layak diterimanya termasuk pemotongan yuran dan bantuan kewangan.
-- BERNAMA
|