Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

"Siapa saya untuk mengajar mereka"- Ahmad Faizal


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





IPOH, 29 Julai (Bernama) -- "Siapalah saya untuk mengajar mereka," kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai kenyataan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad bahawa anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Perak hanya akan mengisyitharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukan kepada Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Bagaimanapun Ahmad Faizal mengambil positif perkara itu asalkan Adun UMNO bersedia membuat pengisytiharan harta.

"Saya ingat rakyat bersetuju ini satu perkara yang baik walaupun mereka tidak isytihar kepada Speaker DUN Perak namun tugas Speaker hanya mahu mengumpulkan sebelum menyerahkannya kepada SPRM.

"Kalau pihak UMNO berhasrat untuk tidak menghormati institusi yang Dipertua Dewan itu siapalah saya nak mengajar mereka sedangkan mereka sudah menjadi kerajaan lebih 60 tahun," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Sesi 2 Tahun 2019 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang berkata pengisytiharan bagi pihak kerajaan telah sedia namun perlu dikemaskini.

"Saya sudah siap cuma saya kena buat penambahan sedikit. EXCO juga perlu kemaskini pengisytiharan sebab kali terakhir kami buat semasa mula-mula tubuh kerajaan dulu," katanya.

Semalam, media melaporkan ADUN UMNO tidak akan membuat pengisytiharan harta kepada Speaker DUN Perak kerana mengatakan ia melanggar asas doktrin pengasingan kuasa antara pihak perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan Adun Slim, Khusairi Abul Talib bahawa kerajaan negeri sedang berusaha menjual ladang tanaman sawit bernama PT Pinang seluas 15,000 hektar milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Palembang, Indonesia, Ahmad Faizal berkata ia masih di dalam proses perbincangan.

Katanya usaha penjualan itu sebenarnya sudah dimulakan oleh pentadbiran sebelum ini dan telah dihentikan oleh kerajaan sekarang namun kini disambung semula setelah mengambil kira beberapa perkara.

"Pertama, tempoh pegangan tanah hampir luput kira-kira 15 tahun lagi sebelum kita memohon kepada kerajaan Indonesia untuk melanjutkan tempoh pajakan, apabila nak minta tempoh pajakan kita perlu menyerahkan kembali 20 peratus keluasan kepada kerajaan Indonesia, maka itu akan menyebabkan kita mempunyai pegangan minoriti.

"Kedua, kita mendapati pokok sawit berkenaan perlu ditanam semula dalam jangka masa pendek maka ia perlukan perbelanjaan yang cukup besar," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata setelah meneliti perbelanjaan, risiko dan sebagainya anggota lembaga syarikat berpandangan ia lebih sesuai jika membuka peluang kepada pembida-pembida membida harga terbaik untuk dijual dan hasil daripada penjualan tersebut boleh digunakan bagi membeli ladang lain di dalam negara.

Pada 14 Julai lalu, Khusairi menerusi satu hantaran di dalam Facebook miliknya berkata kerajaan negeri sedang berusaha menjual ladang PT Pinang kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia secara rundingan terus yang dijangka akan dimuktamadkan hujung tahun ini.

Khusairi berkata sejak lebih 10 tahun  lalu, hasil sawit dari ladang PT Pinang banyak membantu operasi PPPNP termasuk pembayaran gaji pekerjanya.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel