Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Indeks kualiti air negara di tapak pelupusan sampah haram di Sidam masih selamat


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





ALOR SETAR, 29 Julai (Bernama) -- Indeks Kualiti Air Negara (IKAN) di stesen-stesen di hulu dan hilir tapak pelupusan sampah haram di Kampung Kemumbong, Sidam Kiri, dekat Sungai Petani, berada pada tahap dua, iaitu masih sesuai untuk kegunaan loji rawatan air minuman, perikanan dan rekreasi air.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew berkata kerajaan negeri bagaimanapun akan terus memantau dan menguruskan sampah sarap di kawasan itu selepas siasatan dilakukan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) selesai.

"Bacaan (IKAN) ini dapat menenteramkan hati penduduk kerana sungai itu masih selamat digunakan dan SWCorp akan membuat siasatan lanjut selepas tapak pelupusan sampah itu disita semalam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan kegiatan seorang pemilik tanah yang membenarkan sekurang-kurangnya 30 buah lori yang membawa muatan sampah memasuki kampung berkenaan setiap hari bagi melupuskan bahan buangan di tapak pelupusan itu.

"Masyarakat juga dipohon agar bekerjasama dengan pihak berwajib dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Tan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tapak pelupusan haram itu adalah bekas kuari pasir yang ditambak oleh pemilik tanah.

Bagaimanapun, penambakan menjadi tidak terkawal apabila pelbagai jenis sisa pepejal dibenarkan pemilik tanah untuk dilonggokan di tapak berkenaan dengan mengenakan bayaran tertentu.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa sejak lebih 10 tahun lalu ekoran longgokan sampah di kampung berkenaan di samping mengakibatkan pencemaran.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel