Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Naib Canselor baharu akan teruskan dasar UMS sedia ada


Tarikh kemaskini: 31/07/2019





KOTA KINABALU, 31 Julai (Bernama) -- Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, 51, akan meneruskan dasar universiti itu dengan berbekalkan pengalaman sedia ada.

Taufiq Yap berkata beliau juga akan membawa idea-idea baharu, bagi menambah baik dasar yang telah dilaksanakan demi kemajuan UMS.

Katanya perancangan awal beliau ialah meningkatkan 'keterlihatan' UMS untuk bukan hanya terkenal di Sabah, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Kita berbangga UMS telah bersedia ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), namun tumpuan saya terarah kepada meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan IR4.0,” katanya di majlis serah terima tugas daripada bekas Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkuatkuasa semalam, di sini, hari ini.

Majlis disaksikan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk K.Y. Mustafa.

Berasal dari Kota Kinabalu Taufiq Yap berkata beliau bersama pasukan UMS akan kerjasama, khususnya dengan pihak industri di Sabah dan antarabangsa agar dapat memenuhi kehendak pasaran.

Sementara itu Dr Yusof dalam sidang medianya melahirkan penghargaan kepada Dr D Kamarudin atas sumbangan beliau sepanjang menerajui UMS.

Beliau berkata peralihan tugas merupakan proses biasa, agar pendekatan baharu akan dapat menghasilkan mahasiswa lebih berkualiti.

"Selain bekerjasama dalam IR4.0, kita juga mahu UMS menjadi pusat penyelidikan terunggul di Sabah kerana negeri kita kaya dengan flora dan fauna," katanya.

Sementara itu K.Y. dalam satu kenyataan berkata beliau yakin berdasarkan pengalaman dan pencapaian Taufiq Yap, kecemerlangan universiti semasa di bawah legasi kepimpinan bekas naib canselor Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin serta naib-naib canselor terdahulu akan berterusan.

“Saya percaya dengan keupayaan dan pengalaman yang dimiliki beliau (Taufiq Yap) akan memacu kecemerlangan universiti ini di persada nasional dan antarabangsa dalam pelbagai aspek, termasuk merealisasikan agenda UMS menghasilkan graduan ‘future-proof' demi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Saya bagi pihak warga UMS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini,” katanya.

K.Y. juga turut melahirkan penghargaan kepada Dr D Kamarudin atas khidmat bakti yang dicurahkan kepada UMS sepanjang menggalas amanah selaku Naib Canselor sejak Jun 2017 hingga Julai 2019. 

Katanya  Dr D Kamarudin telah menunjukkan kepimpinan yang baik dengan pelbagai pencapaian termasuk berjaya membawa universiti ini buat pertama kalinya tersenarai di dalam QS World Ranking 2020 sebagai 1,000 universiti terbaik dunia.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel