Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

DBKU cadang bina eco depo atasi masalah tapak pelupusan sampah haram


Tarikh kemaskini: 31/07/2019





KUCHING, 31 Julai, (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bercadang membina Eco Depo di kawasan seluas 6.8 hektar di Demak Laut di sini bagi mengatasi masalah tapak pelupusan sampah haram di bandar raya ini.

Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata orang ramai boleh membuang sampah secara percuma di Eco Depo itu sekali gus mengelak kewujudan tapak pelupusan sampah haram.

“Jika beroperasi nanti, pelbagai sampah boleh dibuang orang ramai di tapak terbabit kecuali bahan buangan (kimia) berjadual dan bahan buangan dari hospital,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara DBKU dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Perjanjian persefahaman itu antara lain bertujuan mengetengahkan produk usahawan Kejiranan Mesra (KJM) melalui latihan yang profesional dan lengkap merangkumi kaedah pemasaran, pengiklanan, penjenamaan dan pembungkusan.

Selain itu, DBKU juga mendatangani perjanjian sama dengan Pestech International Berhad, Layar Bumimas Sdn Bhd dan Betsol Sdn Bhd.

Abang Wahap berkata sampah yang dibuang orang ramai di tapak Eco Depo kemudian akan diasingkan kepada bahan buangan organik, peralatan elektrik dan elektronik atau bahan binaan serta dikitar semula atau dijadikan bahan kompos.

Beliau berkata DBKU ketika ini sedang merancang pembinaan tapak terbabit dan seterusnya membawa cadangan itu kepada kerajaan negeri berikutan masalah tapak pelupusan sampah haram masih berlaku di bandar raya ini.

“Di  tapak pelupusan sampah haram Samariang di sini, kita (DBKU) sudah berkali-kali membuat operasi dan mengeluarkan kompaun kepada orang ramai yang membuang sampah di sana dan mereka berhenti melakukannya, tetapi selepas itu orang lain pula yang melakukannya,” katanya.

Sementara itu, mengenai operasi menangkap anjing liar di Taman Budaya di sini selepas menerima aduan terdapat kes orang awam digigit haiwan itu, Abang Wahap berkata setakat ini sebanyak sembilan anjing liar berjaya ditangkap.

“Orang (ramai) boleh pergi ke sana sekarang (Taman Budaya), hanya ada beberapa tempat yang ditutup kerana perangkap kita masih ada di sana,” katanya sambil menambah bahawa hanya seekor anjing yang ditangkap itu telah disahkan positif rabies oleh  Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel