KPLB Sabah baikpulih kawasan Mesej Binsulok yang terbakar
Tarikh kemaskini: 31/07/2019

MEMBAKUT, 31 Julai (Bernama)-- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah membaikpulih kawasan Mini Estet Sejahtera (Mesej) Binsulok di sini yang terbakar beberapa tahun lepas.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kebakaran itu telah memusnahkan hampir 95 peratus kawasan tanaman kelapa sawit di kawasan itu.
"Sementara menanti tanaman kelapa sawit ditanam itu matang dan mengeluarkan hasil, kita sedang mengenalpasti kawasan yang dicadangkan untuk program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) untuk penanaman nanas atau tanaman lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan Mesej Binsulok termasuk kerja-kerja penaiktarafan fasa 1 jalan ke Mesej Binsulok dan melawat kilang mee kering di Kampung Lumat di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ewon yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata kerja-kerja menaiktaraf jalan menghubungkan jalan utama Bandau Kuala Penyu ke Mesej Binsulok kini dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap tahun pada 2021.
Katanya penyediaan bekalan air ke kawasan Mesej Binsulok juga akan dijalankan apabila proses tender bermula pada September ini.
Justeru, beliau berharap kontraktor yang dilantik dapat menyiapkan penaiktarafan jalan raya termasuk projek bekalan air disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Sementara itu, Ewon berkata KPLB Sabah juga akan mengemukakan permohonan kepada KPLB Persekutuan agar program penyediaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) turut dibekalkan di Mesej Montenior Beaufort.
Katanya pihak Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah sebagai agensi pelaksana Mesej Binsulok juga diharap dapat membantu menyediakan genset untuk rumah-rumah kawasan Mesej sementara menanti bekalan elektrik.
Menyentuh mengenai program Kampung Sejahtera, Ewon berkata Kampung Tiong Baru dikenalpasti untuk dimasukkan ke dalam program itu.
Jelasnya, pemilihan kampung itu berdasarkan beberapa kriteria antaranya tidak mempunyai kelengkapan ameniti sosial, bekalan elektrik, air dan jalan raya,” katanya.
--BERNAMA
|